Saya tak gentar ke Putrajaya - Husam
Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa tidak gentar untuk bertanding di
kerusi parlimen Putrajaya walaupun ramai yang menjangkakan kerusi itu
akan 'mematikan' beliau.
Husam ketika memberi ucapan sebaik sahaja
diumumkan sebagai calon di Putrajaya mengakui kerusi yang diamanahkan
itu sukar untuk dimenangi, namun baginya ia dilihat satu cabaran yang
besar dan perlu digalasnya dengan bijak.
P125 Putrajaya
disandang oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor yang menenangi kerusi ini pada PRU 2008 dengan majoriti sebanyak
2,734 undi.
"Dia seorang setiausaha agung, seorang yang
strategis dan tokoh yang hebat. Walaupun cabaran yang berat, saya cabar
untuk berikhtiar biar Putrajaya diwarnakan dengan warna yang sesuai
dengan rakyat.
"Di bawah lembayung kehidupan tidak salah untuk mencuba," tegasnya.
Katanya, trend sekarang adalah trend untuk perubahan dan memerlukan
beliau menggariskan strategi ke atas Putrajaya yang bukan sahaja kerusi
parlimen tetapi sebagai pusat transformasi negara.
Husam turut
menerima nasihat daripada kalangan ahli parti agar beliau tidak
bertanding di kerusi Putrajaya kerana ia tidak selamat buatnya.
"90 peratus mereka yang berjumpa dengan saya menasihatkan saya jangan
pergi (Putrajaya) sebab saya akan 'mati'. Bagus juga macam itu, sebab
ramai yang akan doakan saya hidup," katanya.
Bagaimanapun
beliau akur, dengan keputusan parti walaupun terpaksa meninggalkan
negerinya tetapi beliau gembira apabila orang Putrajaya menyambut
kedatangannya di sini.
"Saya gembira kerana penduduk Putrajaya anggap saya calon yang sesuai. Nama saya naik empat kali di Putrajaya, "katanya.
Langkah pertama sebaik sahaja diumumkan akan bertanding di Putrajaya,
Husam berkata beliau akan berjumpa dan melawat penduduk yang terdiri
daripada kakitangan awam untuk mengetahui apa aspirasi dan masalah
mereka serta isu yang akan beliau perjuangkan.
Husam turut
menasihatkan agar tidak ada bendera parti di jalan-jalan protokal di
sekitar Putrajaya kerana menghormati pusat itu sebagai kota pentadbiran
kerajaan.
No comments:
Post a Comment