Ketika seorang ulama pejuang terkenal Moroco
hendak meletakkan batu asas Kota Fez - Maulana Idris - berdoa bersama
pengikutnya seperti berikut;
“Ya Tuhanku! Engkau amat
mengetahui aku membinakan kota ini bukan untuk dipuji dan berbangga
kepada selain-Mu, tidak juga kerana kepura-puraan, keangkuhan dan rasa
besar diri.
Melainkan niatku untuk penduduknya sentiasa mengabdikan diri hanya kepada-Mu,
hukum dan panduan-Mu menjadi batas sempadan serta kandungan Al-Qur’an
dan Sunnah Nabi-Mu dijunjung, selagi mana bumi ini masih wujud.
Ya Ilahi! Bantulah pendudukanya melakukan sesuatu yang benar dan pandulah mereka melaksanakan tugas mereka sebagai hambaMu.
Ya Ilahi! Lindungilah mereka dari kejahatan apa jua, limpahkan mereka
dengan anugerah yang tak terhitung dan jauhkan mereka dari pedang musuh.
Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Fez - masih wujud hingga kini. Sesiapa yang pernah berkunjung ke sana
akan merasa ta’jub dengan keindahan susun atur bandarnya. Keindahan
dalaman rumah penghuninya lengkap dengan taman dan ruang santai
keluarga, sangat menarik dan indah. Pancuran air telah digunakan untuk
mewujudkan ketenangan dan kedamaian penghuni kotanya.
John
Anthony Burgess Wilson, Novelis British yang pernah menetap di Malaysia
termasuk di Kota Bharu, pengarang antara lain novel seperti: Time for a
Tiger, The Enemy in the Blanket , Beds in the East, The Malayan Trilogy
yang kemudiannya diterbitkan dalam satu jilid dengan judul "The Long
Day Wanes", "The Right to an Answer" (1960), "The Doctor is Sick" (1960)
dan belasan novel yang lain menyebut: Islam adalah satu-satunya agama
Kota.
Hujjah beliau - Nabi Muhammad s.a.w dilahir dan berjuang
di Kota Mekah. Ketika baginda berhijrah, destinasi pilihan baginda
masih sebuah kota - Kota Yathrib yang kemudiannya dinamakan Kota
Madinah.
Selain Rasulullah s.a.w, Nabi Yusuf a.s berhijrah dari
kehidupan kampung di Palestin menuju ibu kota peradaban dunia di masa
itu, Memphes di Mesir.
Nabi Musa a.s pula dititahkan oleh Allah untuk memasuki kota Baitul Maqdis.
Al-Qur’an menggelarkan Kota Mekah sebagai Ibu Kota Dunia - Ummul Qura.
Dua kali - kalimah Ummul Qura muncul di dalam Al-Qur’an iaitu pada ayat
92 Surah Al An’am dan ayat 7 Surah As Syu’ara.
Mekah - sebagai
ibu kota dunia, dulu, kini dan akan datang. Apa perbezaan Kota Mekah
sebelum Nabi s.a.w datang ‘membuka’ Kota ini selepas hijrah Baginda ke
Kota Madinah dan sebelumnya?
Ubudiyyah dan Uluhiyyah kepada Allah!
Ka’abah sedia tersergam ketika Jahiliyyah masih berkuasa di situ.
Sebagai pusat ibadat ia juga menjadi pusat pelancongan dan perdagangan
serentak.
Nabi tidak datang meruntuhkan bangunan dan kota yang
ada. Nabi s.a.w mengisinya dengan pengisian pengEsaan kepada Allah dan
pengabdian penduduknya hanya kepada Nya. Mentadbir kuasa pemerentahan
berasaskan Islam adalah termasuk dalam ubudiyyah itu.
Sejak
itu, ratusan kota bertukar wajah dan pengisian di pelbagai belahan
dunia. Namun, kota-kota ini kekal sebagai kota metropolitan yang termaju
pada zaman mereka masing-masing, dengan penduduk pelbagai ragam, warna,
keturunan dan agama hidup dengan aman dan harmoni di bawah keadilan,
kesaksamaan dan nilai kemanusiaan tahap tinggi.
Manusia dan
kemanusian sentiasa menjadi keutamaan tertinggi. Ubudiyyah kepada Allah
- itulah yang membezakan kota Islam dalam tamadun dengan kota yang
lain.
Keutamaan kepada manusia dan kemanusian - Baik kehidupan
fizikal seperti kediaman, infra awam, taman dan landskap. Mahu pun ciri
lain seperti keselamatan, kecerian, kejiranan, intelektual, seni dan
budaya.
Menyanjung Tinggi Nilai Nilai Baik, Memandang Hina
Nilai Nilai Buruk. Tidak ada pemerasan - baik di bidang perdagangan dan
kegiatan ekonomi mahu pun peluang terbuka berasaskan kelayakan dan
keperluan di segenap bidang.Tidak ada penindasan - melainkan
kesaksamaan,
Cintakan ilmu, dialog, kuliah, diskusi dan percaya
dengan kebebasan berfikir yang tidak dikongkong dan dihalang. Citra
minda dan daya fikir mencapai puncak. Pada masa yang sama, masjid dan
surau dipenuhi dengan mereka yang bersujud dan mengumandangkan bacaan
ayat-ayat suci, doa dan munajat.
Kembali kita ke Putrajaya.
Di mana Putrajaya di peta dunia?
Disebalik perbelanjaan yang mungkin telah mencecah RM30 bilion (sewaktu
saya di Parlimen dulu Dewan diberitahu peruntukan asas adalah RM22
bilion), sejauh mana kedudukan Putrajaya berbanding kota dunia yang
lain?
Mengikut laman web World’s Most Liveble Cities, dari 25
kota besar utama yang dikira paling selesa didiami, Putrajaya belum
tersenarai.
Antara ciri bandar terbaik dunia adalah seperti berikut;
1: Keselamatan
2: Reakreasi
3: Budaya
4: Pendidikan
5: Keusahawanan
6: Alam sekitar
7: Pengangkutan Awam
8: Ekonomi/Kos hidup
9: Kediaman
10: Kesihatan
11: International Connectivity
12: Cuaca
13: Toleransi
14: Arkitektur
15: Polisi positif pemerentah
Mari kita menilai semula permasalahan yang ada di Putrajaya.
Sebahagiannya telah lama disungutkan tetapi kerana sikap dingin pihak
tertentu, ia tinggal menjadi masalah.
Isu-isu ini saya kutip
sekilas saya diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat di Putrajaya.
Masalah sebenar warga Putrajaya mungkin lebihh serius dan lebih besar
lagi.
- Saya sedia mendengar -
Hanya kumpulan gred
profesional sahaja disediakan parking dan kumpulan bawahan diminta
menaiki bas Nadi Putra yg mungkin salah satu perjanjian kroni.
-
kos parking bagi kakitangan sokongan / pegawai muda yg tidak
diperuntukkan parking lot di bangunan Kerajaan adalah terlampau tinggi
dan membebankan. Hasilnya parking lot berbayar yang dibina PJH terbiar
kosong seperti projek gajah putih. Namun malangnya pula, bila
kakitangan tersebut meletakkan kenderaan di kawasan tidak berbayar yang
'tidak direstui' PPj seperti di bahu2 jalan selalunya berakhir dengan
tindakan saman oleh PPj / JPJ / Polis Trafik. Bilangan parking di
apartment2 juga sangat mengecewakan.
- kos perumahan yang terlampau tinggi yang menyebabkan hanya pegawai-pegawai berjawatan tinggi memiliki rumah di Putrajaya.
- aktiviti2 usrah / keagamaan di Masjid Putrajaya / Masjid Tuanku Mizan
sangat2 mengecewakan. Tak padan jumlah makmum berbanding saiz masjid.
- premis-premis komersil dijual dengan kadar yang terlampau tinggi.
Ini menyebabkan kadar sewa bulanan yang terpaksa dibayar oleh peniaga
adalah sangat-sangat tinggi dan mereka terpaksa meninggikan harga
jualan barangan mereka dan ini meningkatkan kos kehidupan penghuni
Putrajaya.
- kurangnya pusat2 yang menawarkan pendidikan Islam
kepada anak-anak. Kesannya, mungkin tahap pemahaman/penghayatan Islam
di kalangan anak2 di Putrajaya di masa depan membimbangkan keluarga.
- sistem pengangkutan awam yg kurang efektif.. w/pun bilangan bas di
sini adalah mencukupi, namun laluan bas ditetapkan tanpa membuat kajian
menyeluruh terhadap keperluan pengguna2 - perlu lebihkan route bas yang
masuk terus ke kawasan2 bangunan Kerajaan khususnya di Parcel C, D dan E
(kebiasaan bas berhenti di luar kawasan Parcel.. kurang mesra pengguna
sbb pengguna terpaksa berjalan kaki & lebih susah kalau waktu hujan)
- kebanjiran pekerja asing menyebabkan persepsi penduduk ke atas tahap keselamatan di Putrajaya merosot.
- kualiti air yang kurang memuaskan.. kotor, berkeladak & bahaya utk kesihatan.
- perlu wujudkan persekitaran / peluang utk penduduk tempatan menambahkan pendapatan
- hubungan sosial di kalangan penduduk Putrajaya amat mendukacitakan.
Perlu lebih kreatif dalam menghasilkan aktiviti2 kekeluargaan yg lebih
santai & boleh eratkan kemesraan & kepedulian di antara ahli
komuniti (aktiviti2 sedia ada lebih berteraskan hiburan).Taman-taman
yang indah di sekitar Putrajaya ( Taman Perdana, Taman Pancarona,
Taman Wetland dan Taman Botani tidak dimanfaatkan untuk menceriakan lagi
kegidupan sosial warga PutraJaya)
- ketiadaan bengkel2 kereta
beroperasi, tiada bengkel khas / one stop center yg menawarkan semua
pakej repair di Ptrajaya sedangkan kawasan perindustrian ringan di
Presint 15 boleh dimanfaatkan.
Sebagai akhirnya, saya perturunkan satu dua ayat-ayat Al-Qur’an sekitar ‘Al-Qura’ untuk renungan kita semua.
Kesimpulan yang kita boleh ambil dari ayat-ayat ini ialah Peringatan
Allah bahawa kedududukan sesuatu bergantung kepada penduduknya. Samada;
Mereka beriman dan bertaqwa - mereka akan dirahmati dan dilimpahkan kurnia yang lebih baik
Mereka durhaka, lalai dan engkar - mereka akan dibinasakan.
Maksudnya: “Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana
Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya
leka lalai.” - (Al-An'aam 6:131)
Maksudnya: “Dan (Tuhan
berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa,
tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang
melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka
mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa
disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” - (Al-A'raaf 7:96)
Maksudnya: “Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta
merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari,
semasa mereka sedang tidur?” - (Al-A'raaf 7:97)
Maksudnya:
“Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk
negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya
kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya
yang dapat disaksikan), dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang
lenyap).” - (Hud 11:100)
Maksudnya: “Dan - di antara tempat
tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri
Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), - Kami
adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang
yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya
(sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta
dikatakan kepada mereka): " Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada
bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang
aman". - (Saba' 34:18)
Wallahu’alam. Sekian.
- Haji Husam Musa
No comments:
Post a Comment