Tuesday, January 02, 2007

2006 at a Glance (politic-based - sumber: 10 Berita Utama 2006, malaysiakini)

Kami ingin membawa anda merenung kembali beberapa peristiwa paling menarik sepanjang tahun ini – meliputi isu-isu yang menyentuh soal kaum dan sensitiviti agama hinggalah kepada arena politik.

1. 'Perang di Putrajaya'

ISU: Pertelingkahan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengganti pilihannya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cukup memeranjatkan rakyat Malaysia. Ketegangan antara mereka tercetus tahun lalu, tetapi 'serangan' sebenar Dr Mahathir adalah sejurus selepas wawancaranya dengan malaysiakini pada 23 Mei. Dalam satu sidang akhbar pada 7 Jun, beliau secara terbuka berkata, Abdullah bukan calon pilihan utama untuk menggantikannya. Sejak itu, keadaan menjadi semakin buruk. Seperti yang dijangka, anggota kabinet Abdullah – ramai daripadanya dilantik oleh Dr Mahathir – mempertahankan Perdana Menteri daripada serangan Dr Mahathir.

Ketegangan itu mencapai kemuncaknya apabila Dr Mahathir diserang dengan semburan bahan pemedih mata ketika tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu pada 28 Julai. Ini membawa kepada polis membuat laporan terhadap malaysiakini, dan individu yang didakwa bertanggungjawab melakukannya, dihadapkan ke mahkamah.

Terdapat usaha untuk mendamaikan Dr Mahathir dan Abdullah apabila kedua-duanya mengadakan pertemuan pada 28 Oktober, tetapi ia sebaliknya mencetuskan perang mulut seterusnya. Bagaimanapun, Dr Mahathir mengalami serangan ringan sakit jantung pada 9 November dan beliau semakin pulih dan jarang muncul di khalayak ramai.
APAKAH SELANJUTNYA:
Dr Mahathir kini tidak banyak bersuara. Namun begitu, ramai yang percaya ianya belum lagi reda dan boleh meletup bila-bila masa... Untuk maklumat lanjut, lihat laporan khas kami.

2. 'Memotivasi' Melayu...
ISU:
Apabila Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menghunus keris di perhimpunan agung Pemuda Umno pada 14 November lalu, beliau mempertahankan tindakannya dengan mengatakan ia bertujuan memotivasikan orang Melayu.

Dan itulah yang terjadi. Tiga perwakilan Umno menyampai ucapan berapi-api yang berbau hasutan mengenai perlunya melindungi ketuanan Melayu, mengekalkan hak keistimewaan bumiputera dan melindungi agama Islam daripada dipersoalkan.

Siapa yang dapat melupakan kata-kata perwakilan Umno dari Perlis, Hashim Suboh: "Datuk Hisham telah menghunuskan kerisnya dan menciumnya. Kami mahu bertanya kepada Datuk Hisham bilakah beliau akan menggunakannya?".

Seorang lagi perwakilan pula berkata, orang Melayu sanggup 'bermandi darah' untuk mempertahankan bangsanya.

Semua itu dapat diikuti oleh rakyat Malaysia kerana perhimpunan tersebut disiarkan secara langsung oleh stesen TV satelit Astro. Sebelum ini, apa yang diperkatakan hanya terhad di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) sahaja.

Ucapan tersebut mendapat bantahan keras. Parti pembangkang DAP membuat laporan polis terhadap perwakilan berkenaan. Peguam Negara pula perlu membuat keputusan sama ada akan mendakwa mereka atau tidak di bawah Akta Hasutan. Umno hanya mengeluarkan amaran keras kepada mereka.

Tindakan keras Pemuda MCA, yang pada mulanya mempersoalkan tindakan Hishammuddin menghunus keris itu, kini nampaknya semakin 'lembut' selepas mendengar penjelasan mengenainya daripada Ketua Pemuda Umno itu.
APAKAH
SELANJUTNYA:
Yang nyata, mungkin tiada lagi 'siaran langsung' perhimpunan agung Umno yang akan datang.

3. Konflik agama


ISU:

Jarang sekali pentadbiran Mahkamah Syariah menjadi tumpuan berhubung hak perlembagaan individu dalam kes bertukar agama kepada Islam.

Kes-kes mengenai Lina Joy, S Shamala, Nyonya Tahir, M Moorthy dan Rayappan Anthony kini meniti di bibirkan semua orang, ketika mereka atau keluarga mereka memohon pengisytiharan mahkamah berhubung status agama mereka.

Berikutan itu, beberapa badan bukan kerajaan dan individu telah menubuhkanGabungan Artikel 11. Ia mengadakan forum awam dan turut berdepan dengan bantahan badan-badan Islam di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Walaupun Perdana Menteri sentiasa bercakap mengenai kebebasan bersuara, tetapi dalam hal ini, beliau bertindak untuk 'memelihara ketenteraman awam' – dengan menolak cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama dan melarang sebarang perbincangan mengenai soal antara agama.

Murtad juga menjadi isu utama, sehingga berlakunya satu perhimpunan bantahan di sebuah gereja Katolik di Ipoh, Perak selepas tersebarnya SMS palsu yang mendakwa. satu majlis membaptis orang Islam akan diadakan di situ.

Kes 'identiti' Lina Joy juga mengakibatkan peguamnya Malik Imtiaz Sarwar menerima ancaman bunuh kerana meletakkan hak perlembagaan melebihi undang-undang Islam.
APAKAH SELANJUTNYA:
Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy akan menjadi satu ujian penting sama ada keputusan Mahkamah Syariah mengatasi penghakiman mahkamah sivil.

4. Semua naik, subsidi minyak kurang


ISU:
Subsidi minyak telah dikurangkan tetapi ko sara hidup, kadar tarif elektrik dan kadar bayaran air pula semakin naik. Siri protes tercetus di Kuala Lumpur, termasuk insiden demonstrasi 'Ahad Berdarah' yang menyaksikan ramai yang tercedera dan 18 orang ditahan. Namun, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa kualiti hidup masih baik dan kenaikan harga itu adalah selaras dengan 'dasar kerajaan untuk memanfaat secara efisien sumber tenaga kita'.

Tidak lama selepas itu, kadar air di Lembah Klang dinaikkan sebanyak 15 peratus walaupun tidak dapat dipastikan justifikasi keputusan kerajaan dan syarikat konsesi air, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd itu.
APAKAH SELANJUTNYA:
Dengan keadaan ekonomi yang lembab, kurangnya keyakinan rakyat terhadap rakyat, nampaknya Barisan Nasional perlu bekerja keras kecuali rakyatnya terus diselubungi sindrom 'mudah lupa'.

5. Karikatur Nabi Muhammad

ISU: Isu berhubung penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad menyaksi pertubuhan media dikenakan tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Akhbar Sarawak Tribune digantung pada 9 Februari selepas menyiarkan karikatur tersebut pada 4 Februari. Sejurus selepas itu, operasi syarikat tersebut dibubarkan.

Edisi petang akhbar berbahasa Cina, Guangming Daily digantung selama dua minggu kerana menyiarkan gambar yang memaparkan karikatur, begitu juga dengan akhbar berbahasa Cina Berita Petang di Sarawak.

Pada 21 Februari, akhbar New Straits Times menyiarkan kartun yang memaparkan seorang kartunis jalanan menawarkan untuk melukis karikatur Nabi Muhammad. Selepas menghadapi tekanan, ia menyiarkan permohonan maaf pada hari berikutnya di muka depan. Perdana Menteri menerima permohonan maaf itu.

Malaysiakini memperolehi klip video siaran karikatur tersebut di stesen milik kerajaan – RTM 2 – dan stesen televisyen swasta TV3, masing-masing disiarkan pada 3 Februari dan 27 Februari. Pada 1 Mac, TV3 dan ntv7 memohon maaf.
APAKAH SELANJUTNYA:
Mengenai kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, pastinya'self-censorship' di bilik berita akan bertambah ketat.

6. Perobohan rumah ibadat 'haram'...

ISU:
Sejak bulan Februari, beberapa tempat ibadat 'haram' telah dirobohkan. Sebahagian besar daripada kuil Hindu terbabit wujud sejak zaman penjajah lagi.

Badan hak asasi – Barisan Bertindak Hak Agama Hindu – yang memperjuangkan hak kebebasan beragama dalam perlembagaan, telah mengesan kes 74 kuil hindu dirobohkan. Bagaimanapun, usahanya sehingga ini belum membuahkan hasil.

Turut dirobohkan ialah sebuah kuil Cina di Pulau Pinang dan sebuah surau di Selangor turut dirobohkan, sehingga menimbulkan bantahan penduduk.

Hindu Sangam – persatuan induk bagi persatuan-persatuan Hindu di Malaysia, sedang berusaha untuk menenangkan keadaan dan menyelamatkan kuil terbabit. Menyedarikan ketegangan tersebut, Pejabat Peguam Negara sedang menjalankan kajian segera mengenainya.
APAKAH SELANJUTNYA:
Nasib banyak lagi kuil masih belum dapat dipastikan kerana perintah perobohannya telah dikeluarkan.

7. Dan di Selangor...


ISU:
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Mat Deros membina 'istana' tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Perbandaran Kelang (MPK) terlebih dahulu, sedangkan beliau sendiri merupakan ahli MPK. Beliau juga mengendalikan restoran sate di premis yang tidak diluluskan oleh MPK.

Sultan Selangor akhirnya campurtangan dan 'menasihatkan' Zakaria supaya tidak menerima tawaran untuk menyambung perkhidmatannya di MPK.

Satu lagi skandal membabitkan Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Sepang yang memaksa pemilik perniagaan supaya menggunakan perkhidmatan operator kawalan makhluk perosak yang 'diluluskan' sebagai syarat untuk mendapatkan lesen atau memperbaharui lesen.

Bagaimanapun, ia menarik balik syarat tersebut selepas timbulnya bantahan kerana operator berkenaan mengenakan bayaran yang begitu mahal dan sebahagian besarnya pula tidak bertauliah.
APAKAH SELANJUTNYA:
Pembayar cukai mesti memastik majlis-majlis perbandaran di Selangor yang diisytiharkan sebagai 'negeri maju' menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan berakauntabiliti.

8. Penguasaan media

ISU:

Pada 17 Oktober, kenyataan Bursa Malaysia dan MCA mengumumkan bahawa parti komponen Barisan Nasional (BN), itu telah menjual 21.02 peratus daripada 44.4 peratus pegangannya dalam Nanyang Press Holdings – yang menerbitkan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press – kepada jutawan balak dan media dari Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King.

Syarikat Tiong – Sin Chew Media Corporation Bhd – menerbitkan dua akhbar terlaris berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Guangming Daily. Ekoran penjualan tersebut, Tiong menguasai 87 peratus pembaca akhbar harian berbahasa Cina di Semenanjung dan 86 peratus perolehan iklan.

Ekoran itu, pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat Cina dan para pelajar melancarkan kempen anti-monopoli, antara lain, dengan menganjurkan forum awam, bantahan dan demonstrasi maya. Mereka menggesa Tiong dan MCA menjual saham masing-masing dalam Nanyang Press serta penubuhan jawatankuasa terpilih Parlimen mengenai hak komunikasi.

Sebelum selepas itu, timbul pula cadangan penggabungan antara dua pertubuhan media utama di Malaysia – New Straits Times Press Bhd milik Media Prima Bhd dan Utusan Melayu milik Umno.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyokong penggabungan tersebut, tetapi pemimpin Umno dan ahli akar umbi pula tidak menyenanginya. Mereka bimbang Utusan Melayu akan hilang identitinya sebagai jurucakap masyarakat Melayu, jika penggabungan itu menjadi kenyataan.
APAKAH SELANJUTNYA:
Pemuda MCA yang menyokong cadangan penubuhan jawatankuasa terpilih itu, bakal berdepan dengan parti induknya dan BN, bagi menjayakannya. Empayar media Tiong pula akan terus dipantau, manakala Umno perlu bekerja keras untuk mendapatkan persetujuan ahli-ahlinya bagi menjayakan penggabungan NST-Utusan.

9. Kes pembunuhan wanita Mongolia


ISU:
Oktober lalu, seorang wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibu, 28, dilaporkan dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan.

Penganalisa politik terkemuka, Abdul Razak Baginda, 46, telah didakwa bersubahat dengan dua anggota unit tindakan khas yang dituduh membunuh Altantuya. Kes tersebut ditetapkan didengar pada 5 Januari depan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Abdul Razak merupakan rakan rapat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang juga Menteri Pertahanan. Pada 2002, nama Abdul Razak dibangkitkan di Parlimen kerana didakwa menjadi orang tengah dalam urusan pembelian kapal selam Scorpene oleh Tentera Laut Diraja Malaysia.. Urusniaga tersebut dianggarkan bernilai AS$800 juta.

Perdana Menteri Mongolia, Parlimen dan beberapa badan kerajaan mengikuti rapat perbicaraan kes tersebut bagi memastikan ia bebas daripada "pengaruh politik", tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memberi jaminan tiada apa yang akan disembunyikan.
APAKAH SELANJUTNYA:
Pastinya perbicaraan kes ini ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak kerana ia dijangka menjanjikan sesuatu yang di luar dugaan, terutama mereka yang percayakan teori konspirasi dalam kes ini.

10. Saman trafik pesalah VIP


ISU:
Malaysiakini yang pertama menyiarkan berita kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan 11 denda saman kesalahan trafik berjumlah RM1,000. Beliau kemudiannya membayar denda tersebut.

Semakan juga mendapati Tengku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman; dan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil, turut gagal membayar lebih 100 denda saman kesalahan trafik.

Lapan belas menteri lagi mempunyai hampir 1,000 denda saman kesalahan trafik yang berjumlah lebih RM115,000. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu pula mempunyai 143 saman berjumlah RM17,000.

Semua saman tersebut tertunggak bertahun-tahun lamanya yang dilakukan di pelbagai tempat dan berlainan kenderaan. Bagaimanapun, ramai daripada pesalah VIP ini mendakwa kenderaan mereka dipandu oleh orang lain.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mengarahkan mereka yang terbabit supaya membayar saman tersebut, tetapi beliau sendiri dan beberapa orang menteri lagi didapati turut tidak menjelaskan saman apabila operasi trafik selesai dijalankan.
APAKAH SELANJUTNYA:
Mungkin editor malaysiakini akan 'dijemput' menghadiri mesyuarat di mana mereka akan 'dinasihatkan' supaya jangan membesar-besarkan isu-isu yang sensitif!

No comments: