Tuesday, January 10, 2012

Ibrah untuk...

Salah satu dari kisah Perang Tabuk yang diriwayatkan dari satu hadis oleh Abdullah bin Mas'ud r.a dalam kitab al-Mustadrak karangan Imam Al-Hakim (Abu Abdullah Muhammad bin Abdullah al-Hakim An-Naisaburi).

Sedikit berkenaan Imam Al-Hakim, beliau dilahirkan lewat sedikit dari imam-imam Sunanus-Sittah. Menariknya, beliau mengarang kitab al-Mustadrak (Al-Mustadrak 'alas-Sohihaini) menggunakan method-method pemilihan hadis seperti mana Imam Bukhari dan Imam Muslim memilih hadis untuk dimasukkan ke dalam Sahih. Jadi hadis-hadisnya ada nilaian tinggi di sisi para ulama'.

Namun Imam Al-Hakim ini diuji ALLAH SWT dengan sedikit ujian di akhir kehidupannya, yakni dengan ujian nyanyuk. Oleh itu, apabila ulama memetik hadis dari Imam Al-Hakim, mereka akan memastikan, adakah hadis itu diriwayatkan sebelum atau semasa Imam Al-Hakim ditimpa ujian berkenaan. Jika seseuatu hadis itu dari Imam Al-Hakim itu diriwayatkannya semasa beliau diuji, ulama' akan memperhalusi semula hadis berkenaan, sama ada boleh diterima atau ditolak.

(Maaf, penulis tidak ingat matan hadis sepenuhnya. Hadis ini agak panjang. Kisah ini diceritakan semula secara bebas & seboleh mungkin menggunakan teks/penjelasan hadis berkenaan yang diterima dari Ust Anzaruddin [ANZARUDDIN BIN AHMAD, M.M.L.S. (Arabic) UM, B.A.(Hons) Arabic Lang. and Linguistics (UM), B.Sc.(Hons) International Management, California State University. Post Grad. Diploma (Islamic Studies) UKM] dalam Kuliah Zohor Surau Menara TM sekejap tadi)

Pada ketika perjalanan menuju ke Tabuk, Nabi Muhammad SAW dikhabarkan oleh beberapa sahabat baginda berkenaan sahabat-sahabat yang tertinggal. Nabi Muhammad SAW menjelaskan dengan nada positif bahawa ketiadaan mereka tidak mnejejaskan sahabat sekaliannya. Kemudian Baginda dikhabarkan lagi tentang salah seorang yang tertinggal ialah Abu Zar Al-Ghifari. Abu Zar merupakan salah seorang sahabat besar, antara yang awal memeluk Islam. Nabi SAW kemudiannya menjawab Abu Zar telah dilambatkan oleh untanya yang telah tua. Unta (ba'ir) yang dinaiki oleh Abu Zar sudah tua dan berjalan perlahan-lahan sahaja.
Sesampainya rombongan perang Nabi SAW di suatu tempat yang sudah dekat dengan Tabuk, (namun masih belum sampai Tabuk) sahabat mengkhabarkan ternampak seseorang dari kalangan orang Muslimin dari jauh sedang berjalan kaki menuju ke arah rombongan. Nabi SAW sekadar menjawab, "Mungkin Abu Zar barangkali." Apabila sudah dekat sahabat tadi menguatkan suaranya membenarkan kata-kata Nabi SAW sebentar tadi. Abu Zar datang dengan berjalan kaki memikul segala perbekalan perangnya yang asalnya diletakkan di atas unta tua yang amat perlahan langkahnya. Lantas Nabi SAW bersabda, "Semoga Allah merahmati Abu Zar! Dia hidup sendirian, mati pun sendirian dan dibangkitkan kelak sendirian."

Selepas kewafatan Nabi SAW, Abu Zar adalah salah seorang yang tidak mampu lagi untuk tinggal di Madinah kerana sedih. (Sahabat lain termasuklah muazzin Nabi iaitu Bilal bin Rabah r.anhu. Bilal bin Rabah sehinggakan tidak mampu menghabiskan azan lantaran terlalu sebak sehingga terpaksa digantikan dengan orang lain. Pada zaman Nabi SAW masih ada, beliau disuruh azan oleh Rasulullah SAW dan akan bergilir-gilir dengan seorang lagi sahabat tukang azan ialah Abdullah bin Ummi Maktum r.anhu, muazzin yang buta). Abu Zar berpindah ke Damsyik (Dimashq dalam bahasa Arab, Damascus dalam English di Syiria) dan meneruskan kehidupannya di sana sehingga satu peristiwa pada zaman khalifah Usman bin Affan r.anhu.

Pada zaman khalifah Usman bin Affan r.anhu, beliau melantik Muawiyah bin Abu Sufiyan sebagai gabenor di sana. Corak pemerintahan Khalifah Usman agak sedikit berbeza, yakni sedikit lebih mewah berbanding dengan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq & Khalifah Umar Al-Khattab r.anhuma. Pada zaman ini juga sahabat baik Abu Zar, Abu Darda' r.anhu telah dihantar sebagai Qadhi di Damsyik. Abu Zar sangat gembira kerana teman baiknya akan berada dekat dengannya.

Suatu ketika sewaktu di Damsyik, Abu Zar & Abu Darda' telah menegur Muawiyah berkenaan kehidupan mewahnya sebagai gabenor. Muawiyah merasakan gaya hidup perlu diubah untuk mengelakkan umat Islam dipandang rendah oleh pihak Bizantin Rom Timur dan lain-lain musuh Islam. Namun sahabat besar berdua ini masih tidak bersetuju dengan perubahan yang mereka lihat amat jauh dengan kehidupan dua khalifah sebelumnya, apatah lagi kehidupan Nabi SAW.

Akhirnya masalah teguran yang tidak selesai ini dilaporkan kepada khalifah di Madinah. Khalifah Usman memang memahami cara hidup kedua-dua sahabat besar dan usaha mereka untuk menegur Muawiyah. Mereka berdua dipanggil pulang ke Madinah dan selepas mendengar penjelasan, Khalifah mengambil keputusan untuk memecat Abu Darda' dari jawatan qadhi berdasarkan ijtihad dan suasana mutakhir gaya hidup masyarakat yang memang tidak sama dengan cara Abu Darda' & Abu Zar. Namun, apa yang nak dipecat dari Abu Zar yang memang sedia tidak berjawatan?

Akhirnya Abu Zar, Ummu Zar yakni suaminya dan anak mereka dihantar ke satu tempat terpencil. Mereka berdua menerima keputusan pemecatan & penyisihan masing-masing ini dengan hati terbuka.

Sewaktu Abu Zar hampir menemui ajalnya beliau berpesan agar isteri dan anaknya menguruskan jenazahnya dari urusan pemandian dan pengafanan. Namun dipesan supaya jangan dikebumikan sehingga ada sahabat datang menjenguk.

Abu Zar r.anhu pulang menemui Penciptanya dalam keadaan sendirian di tempat terpencil berkenaan. Selesai dikafankan, jenazahnya diletakkan di tepi jalan ditemani sang isteri dan anak yang setia. Tak lama kemudian datang seorang sahabat bersama kira-kira sepuluh orang ahli rombongannya ke jalan berkenaan. Sahabat itu, tidak lain dan tidak bukan ialah Abdullah bin Mas'ud r.anhu. Beliau, sudah dapat mengagak jenazah siapakah yang ditatapinya itu lantaran teringat dengan hadis Nabi SAW yang pernah didengari dalam rombongan Perang Tabuk satu masa dulu. Menangislah Abdullah bin Mas'ud lantaran teringatkan sabdaan Rasulullah SAW, "Semoga Allah merahmati Abu Zar! Dia hidup sendirian, mati pun sendirian dan dibangkitkan kelak sendirian." Kemudian beliau menyempurnakan jenazah Abu Zar selayaknya bagi seorang umat Islam.

--
Nota kaki:

1. Jamal bermakna unta. Ibil bermakna unta yang sudah boleh ditunggang (rujuk surah al-Ghaashiyah). Naqah bermakna unta betina (rujuk surah Asy-Syams)
2. Muawiyah bukanlah orang yang jauh dengan Nabi SAW. Beliau merupakan ipar kepada Nabi SAW melalui perkahwinan Baginda dengan Ummu Habibah, atau nama sebenarnya Ramlah binti Abu Sufyan

No comments: