Dewan Pemuda Wilayah Persekutuan kesal dengan sikap Ahli Kabinet Malaysia yang diketuai Oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang enggan melayani pandangan Jakim, Jabatan Agama, Mufti dan NGO Islam berhubung dengan isu agama anak K Pathmanaban atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah.
Kabinet telah mewujudkan Jawatankuasa khas bagi membincangkan isu ini dan diketuai oleh Menteri di JPM, Koh Tsu Koon, Menteri Sumber Manusia, S Subramaniam; Menteri di JPM, Jamil Khir Baharom, dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil. Keempat-empat orang ini dilantik bagi membahaskan isu yang sangat sensitif dan kemudiannya mengeluarkan fatwa bahawa;
1. Anak yang masih dibawah umur perlulah dibesarkan mengikut agama asal ibu atau ayahnya.
2. Pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil bukan dimahkamah Syariah.
Sesungguhnya Kabinet Najib sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut Eksekutif bukannya Legistatif dan Kehakiman. Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama.
Dalam apa jua urusan yang menyentuh tentang agama khususnya agama Islam, Kabinet perlu juga merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan juga memohon perkenan Yang DiPertuan Agong sebagai ketua agama negara ini.
Sekaligus tindakan Kabinet pada minggu lepas dilihat sebagai yang paling biadap terhadap Yang DiPertuan Agong, Mufti, Parlimen dan juga Sistem Kehakiman Negara yang lebih berkuasa dari mereka.
Justeru itu Pemudawilayah mendesak agar Kabinet menarik balik keputusan dan arahan yang dikeluarkan itu dan mengembalikan kuasa bagi menentukan agama anak Mohd Ridzuan Abdullah kepada Mahkamah Persekutuan.
Sebagai menyokong tindakan Jakim, Mufti, NGO dan mempertahankan hak serta bidang Kuasa Yang DiPertuan Agong selaku ketua Agama Malaysia Pemudawilayah dan Lajnah Dakwah & Pembelaan Islam DPPP akan menganjurkan Himpunan Rakyat Bagi Mendesak Kabinet Menarik Balik Keputusan itu pada Jumaat ini (1 Mei 2009) bertempat di Masjid Kg. Bharu Kuala Lumpur.
Himpunan dijangka berlangsung selepas solat Jumaat dan seluruh Pemimpin Umat Islam, Ahli Politik, NGO dan rakyat diseru untuk hadir sebagai menunjukan bantahan terhadap sikap Kabinet yang terus membisu terhadap desakkan rakyat sebelum ini.
Himpunan ini diadakan khususnya untuk menyedarkan kabinet tentang bidang kuasa mereka agar Menteri-menteri Kabinet selepas ini ingat bahawa ada lagi kuasa-kuasa lain yang lebih tinggi dan layak dari mereka dalam membicarakan soal agama dan hubungan antara agama dalam negara ini.
Sekian.
Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan
No comments:
Post a Comment