Monday, August 27, 2007

Penjelasan gambar siswi muslim memegang anjing & babi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Kepada yang berkenaan,

Semoga sentiasa dalam lingkungan rahmat dan kasih sayang Allah swt. Saya merasa terpanggil untuk memberikan sedikit maklumbalas berkenaan beberapa gambar yang diedarkan menerusi internet yang menunjukkan seorang siswi Fakulti Perubatan Veterinar UPM yang bergambar berdekatan serta memegang/menyentuh anjing dan babi.

Email ini saya tulis secara panjang lebar dengan harapan huraiannya dapat difahami dengan jelas dan tidak disalah tafsirkan. TETAPI buat mereka yang tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca cukuplah saya katakan TIADA APA-APA MASALAH PADA GAMBAR TERSEBUT!. IA TIDAK MENGHINA ISLAM SEBALIKNYA MENERANGKAN BAHAWA UMAT ISLAM BOLEH MENYENTUH ANJING DAN BABI. ADALAH MENJADI TANGGUNGJAWAB MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH UNTUK MENGURUSKAN KESELESAAN HIDUP HAIWAN INI DENGAN MEMASTIKAN KEBEBASAN DAN KESIHATANNYA TERJAGA.

Tiada nas yang mengatakan menyentuh anjing dan babi itu haram. Yang haram ialah memakannya. Kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ini. Kedua-duanya adalah ciptaan Allah, dan Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, sebaliknya setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina oleh umatnya?

Sebelum meneruskan perbincangan, izinkan saya memberi sedikit pengenalan diri, saya merupakan salah seorang graduan Doktor Perubatan Veterinar tahun 2006. Kini menyambung pelajaran dalam bidang master fisiologi di Fakulti Perubatan Veterinar UPM semester pertama. Sebelum ini, bersekolah di Sek. Men. Keb. Agama Kuala Selangor. Saya bukanlah orang yang paling sesuai untuk memberi penjelasan kerana yang terbaik adalah mereka yang mendalami ilmu agama agar dapat menjelaskan dengan menyatakan nas-nas serta tafsiran yang tepat serta mendalam. Walaubagaimanapun saya akan cuba menjelaskan dengan pengetahuan agama sedikit yang saya ada dan hasil daripada perbincangan secara peribadi dengan ustaz-ustaz serta seminar yang pernah kami adakan di fakulti sendiri berkenaan dengan isu ini.

Pertamanya, sebagai seorang doktor veterinar (doktor haiwan) sememangnya kami mungkin akan berhadapan dengan situasi merawat anjing atau babi. Bagi doktor veterinar atau ringkasnya vet, yang bekerja di klinik-klinik haiwan kebanyakannya akan merawat anjing dan juga kucing. Walaubagaimanapun terdapat sesetengahnya yang menghadkan rawatan kepada kucing sahaja. Berkenaan dengan babi, kebiasaannya tiada vet muslim yang akan bekerja di ladang ternakan babi. Walaubagaimanapun, bagi vet yang bekerja di jabatan perkhidmatan haiwan, adakalanya mereka akan ke ladang ternakan babi untuk membuat pemeriksaan bagi memastikan ladang tersebut mengamalkan amalan pengurusan ladang yang baik supaya bebas daripada penyakit-penyakit berbahaya seperti penyakit Nipah yang merebak pada tahun 1999 yang turut membahayakan nyawa manusia. Terdapat juga vet yang bekerja di makmal yang memproses sampel-sampel yang datang daripada babi atau anjing seperti darah, najis, organ-organ dan sebagainya

Justeru, dalam kurikulum Doktor Perubatan Veterinar, pelajar akan terlibat mengendalikan anjing dan babi. Bermula dengan organ-organ haiwan tersebut dalam amali bagi subjek anatomi dan fisiologi sehinggalah kepada mengendali, merawat dan membuat post mortem terhadap haiwan tersebut secara seluruhnya apabila memasuki tahun para-klinikal dan klinikal. Secara umumnya saya bersetuju dengan perkataan "desensitization" yang digunakan oleh salah seorang yang menghantar email tersebut kepada saya. Sebagai vet, proses ini perlu kerana kami tidak sepatutnya jijik untuk merawat pesakit kami kerana itu merupakan tanggungjawab kami yang juga terkandung dalam ikrar yang dilafazkan oleh setiap vet ketika bergraduan.

Apabila memasuki tahun ke 4, pelajar vet akan mengikuti subjek pengenalan terhadap klinik. Dan subjek klinik pada tahun ke 5. dalam kedua-dua subjek ini pelajar akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang kecil dan kumpulan – kumpulan ini akan bergilir membuat praktikal dalam amalan-amalan yang telah ditetapkan. Pelajar-pelajar ini akan membuat praktis selama seminggu dalam setiap amalan. Amalan-amalan ini termasuklah amalan haiwan kesayangan yang melibatkan rawatan terhadap anjing dan amalan ternakan babi yang memerlukan pelajar ke ladang ternakan babi untuk membuat pemerhatian, diagnosis penyakit serta rawatan. Daripada apa yang saya lihat, gambar-gambar yang diedarkan menerusi internet itu adalah gambar yang diambil oleh pelajar ketika praktikal sama ada dalam subjek pengenalan klinik atau subjek klinik ini. Pada pandangan saya, pelajar itu berkongsi gambar – gambar tersebut secara umum dalam internet bukanlah bertujuan menghina agama atau sebagainya, sebaliknya sekadar berkongsi suatu pengalaman yang mungkin tidak dilalui oleh orang ramai.

Berkenaan dengan isu menyentuh, memegang, merawat anjing dan babi yang dikategorikan sebagai najis "mughollazoh" iaitu najis berat dalam feqah, ianya bukanlah haram seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah masyarakat melayu. Ramai yang bertanya kepada saya bagaimana saya sebagai seorang muslim boleh menyentuh anjing dan babi yang haram disentuh?. Berdasarkan pelajaran feqah yang saya pelajari sejak sekolah rendah agama hinggalah sekolah menengah, menyentuh najis "mughollazaoh" tidak haram. Apa yang dinyatakan oleh hukum feqah ialah apabila kita menyentuh najis "mughollazoh" kita dikehendaki menyucikannya dengan bersamak iaitu membasuh dengan air yang telah dicampurkan dengan tanah sekali dan membilasnya dengan air "musta'mal" (air yang bersih dan suci) sebanyak 6x. Yang haram berkaitan dengan anjing dan babi ialah memakannya bukan menyentuhnya.

Sebagai seorang melayu, saya maklum pandangan masyarakat melayu yang merasakan 'geli' atau jijik terhadap anjing dan babi. Mungkin ini adalah disebabkan nilai yang diwarisi daripada ibubapa yang mungkin berasal daripada usaha untuk mengelak daripada tersentuh anjing dan babi yang mana proses menyucikannya dilihat sebagai agak leceh dan jika tidak dilakukan akan menjejaskan ibadah. Saya sendiri, walaupun telah jelas berkenaan dengan hukum menyentuh anjing dan babi, merasa kekok dan sedikit 'geli' apabila kali pertama memegang jantung babi apatah lagi ketika kali pertama mengangkat anjing untuk diletakkan di atas meja pemeriksaan yang mana tekniknya memerlukan kita merapatkan badan anjing tersebut ke badan sendiri kerana itu merupakan teknik yang selamat bagi mengelakkan kecederaan yang tidak dingini dalam proses mengangkat tersebut. Namun, kita perlu jelas pandangan Islam terhadap 2 makhluk ciptaan Allah ini. Adakah Allah menciptakan anjing dan babi ini untuk dipandang hina kerana itu ianya diistilahkan sebagai najis berat? Jika ya mengapa terdapat hukum feqah yang menyatakan haiwan buruan yang dibunuh oleh anjing buruan yang terlatih halal dimakan dengan syarat pemburu berniat kerana Allah ketika melepaskan anjing buruan tersebut. Bagaimana pula dengan kisah seorang pelacur yang diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan dengan menggunakan kasutnya?

Anjing dan babi juga merupakan makhluk ciptaan Allah yang mana termasuk dalam tanggungjawab manusia sebagai khalifah di mukabumi untuk menguruskannya. Sebagai makhluk ia juga seperti manusia memerlukan makanan apabila ia lapar, minuman apabila haus dan ia perlukan rawatan apabila ia sakit, walaupun mungkin dari sudut keutamaannya berbeza dengan manusia. Justeru saya melihat apa yang dipelajari oleh vet berkenaan dengan anjing dan babi serta kewajipan merawatnya termasuk dalam perkara fardhu kifayah dan ia memenuhi sebahagian tanggungjawab manusia sebagai khalifah.

Walaubagaimanapun menjadi tanggungjawab vet untuk mengetahui tuntutan agama yang perlu dipenuhi dalam kerjayanya. Vet dan pelajar doktor perubatan veterinar perlulah berhati-hati dan tidak sambil lewa dalam soal kesucian tubuh badan dan pakaian kerana ianya akan menjejaskan ibadah. Yang terbaik ialah mengasingkan pakaian kerja dengan pakaian harian terutamanya pakaian untuk solat jika tidak mahu menyamak pakaian kerana khuatir pakaian akan rosak dan sebagainya. Bagi orang awam pula tidak perlu risau kerana najis ini "tidak berjangkit" maksudnya jika seorang vet hanya membasuh tangannya dan telah membersihkan zat najis tersebut selepas bertugas tetapi masih belum menyamak tangannya, ia tidak "berjangkit" jika anda bersalaman dengannya kerana tiada zat najis (warna, bau dan rasa) pada tangan vet tersebut. Tetapi vet tersebut perlu menyucikan tangannya dengan bersamak sebelum solat. Hal yang sama jika anda bersalaman dengan orang bukan Islam yang mungkin memelihara anjing di rumahnya. Begitu juga dengan tapak kasut anda yang memijak mukabumi yang pernah dipijak oleh anjing atau babi. Tidak perlu risau dan terlalu was-was selagi tiada zat najis. Walaubagaimanapun terdapat cadangan daripada sesetengah ustaz untuk menyamak seluruh badan sekali sekala bagi orang awam dan mungkin berkala bagi vet seperti sebulan sekali supaya jika terdapat najis "mughollazoh" pada badan yang tidak diketahuinya, ia dapat disucikan. Namun saya kira ini adalah sekadar satu pandangan bukan kewajipan yang baik untuk mereka yang was-was praktikkan. Sebenarnya terdapat pelbagai persoalan - persoalan yang timbul yang berkait dengan kerjaya vet seperti bagaimana vet muslim merawat kuda yang terlibat dalam lumba kuda, apakah hukumnya?, bagaimana pula dengan bayaran upah perkhidmatan yang diterimanya?adakah ianya halal? Begitu juga jika vet muslim memberi perkhidmatan nasihat untuk memperbaiki usaha perladangan babi, bagaimanakah hukumnya? Adakah ianya berdosa kerana membantu orang memakan babi? Bagaimana jika membuat pembedahan yang panjang sehingga terlepas solat? Adakah sama seperti pembedahan manusia yang membolehkan solat tersebut dijamakkan? Banyak lagi soalan-soalan yang datang samada daripada orang awam, dikalangan vet atau pelajar vet sendiri yang saya sendiri tidak mampu menjawabnya dengan ilmu agama yang cetek ini. Saya kira perkara yang sama juga berlaku atau akan berlaku dalam bidang kerjaya anda jika anda mencarinya…ini kerana Islam itu adalah cara hidup yang syumul, elemennye terdapat dalam semua bidang, dan yang indahnya, Islam sudah pun ada jawapannya, terpulang pada kita untuk menyelidik dan memahaminya dengan panduan dan tunjuk ajar daripada mereka yang ahlinya.

Akhirnya, sebagai seorang muslim, marilah kita bersama mengambil tanggungjawab untuk memperbetulkan salah faham masyarakat khasnya masyarakat melayu berkaitan dengan isu ini. Perkara ini banyak dipertikaikan oleh masyarakat yang bukan Islam terutamanya mereka yang kuat memegang nilai kebajikan haiwan. Seorang senior saya dalam projek tahun akhirnya yang berkenaan dengan kebajikan haiwan, menjalankan satu soal selidik. Salah satu daripada soalannya adalah " jika anda melihat seekor anjing yang tersepit kakinya, adakah anda akan menolong melepaskan kakinya? Nyatakan alasan bagi setiap jawapan anda". Sebagai seorang muslim saya merasa sedih dan malu apabila terdapat satu jawapan yang menyatakan "Tidak, kerana saya seorang Islam". Senario ini harus kita ubah kerana sebagai seorang Islam kita perlu menjaga 3 hubungan iaitu hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia dan hubungan dengan makhluk yang lain. Sesungguhnya Islam itu syumul, segalanya sudah pun digariskan panduannya, terpulang kepada kita untuk mencari, memahami dan mengamalkannya. Wallahua'lam

Saya mengalu – alukan mereka yang ingin mengemuka pandangan, memperbetulkan fakta atau berkongsi maklumat baru berkenaan dengan hal ini. Anda bolehlah menghantar email kepada lapanjuta@yahoo.co.uk. Sekian moga bermanfaat untuk semua. Terima kasih.

Dr. Mohd Dzulhamka Kamaluddin

DVM, UPM

Disemak oleh,

Prof. Dr. Rasedee Abdullah

Pensyarah

Fakulti Perubatan Veterinar

Universiti Putra Malaysia

Tuesday, August 07, 2007

Anugerah pada Anwar, Persatuan Silat Pusaka Gayong digertak pimpinan Umno

Mohd Sabri Said
Tue | Aug 07, 07 | 03:32:18 PM

PERMATANG PAUH, 7 Ogos (Hrkh) - Setiausaha Agung Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia, Cikgu Majid Mat Isa digertak oleh beberapa individu tertentu agar menarik balik pengtabalan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung semalam.
Program yang diadakan di pekarangan Yayasan An-Nahdhoh, Penanti, Bukit Mertajam berjalan lancar walaupun ada gangguan daripada individu tertentu yang berlatar belakang politik pemerintah dan Special Branch (SB).
Image"Hairan sungguh politik melayu nak tabalkan orang yang pernah difitnah walaupun amanah pun sukar berbagai alasan diberikan. Tetapi, saya tegaskan bahawa saya tetap laksanakan demi amanah perguruan kami iaitu Dato' Mior Abdul Rahman Daeng Kuning Mohd Hashim, " ujarnya mengulas tindakan beberapa orang kepimpinan Umno yang membantah pertabalan Dato' Seri Anwar.
Kata beliau, seni mempertahankan diri bukan gelanggang politik sempit yang boleh menaik atau menjatuhkan seseorang sebaliknya bermatlamat memartabatkan anugerah Ilahi terhadap bangsa Melayu.
Ujarnya, beliau menafikan pandangan sekelompok kepimpinan negara yang khuatir Dato' Seri Anwar mempengaruhi supaya menyokongnya dalam pilihan raya umum yang dijangkakan tidak lama lagi.
Beliau memuji sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa pertemuan singkat dalam majlis di Balik Pulau baru-baru ini di mana beliau sendiri menyarankan dilakukan asalkan bermanafaat.
"Orang nombor satu negara memberi lampu hijau kenapa pula ada sekumpulan lain lebih sudu dari bubur, " tegasnya.
Di Negeri Kedah pun, beberapa orang kepimpinan negeri mendesaknya agar membatalkan pertabalan Dato' Seri Anwar jika mahu meneruskan perkhidmatan sebagai Pengawal Peribadi Keselamatan Khas di Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang kebetulan tamat kontrak pada bulan Julai lepas.
Pada 2 Ogos lalu beliau sendiri dijemput oleh Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mazhir Khalid yang mendesaknya supaya membatalkan program tersebut kerana bimbang pengaruh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Kalau nak batal kontrak saya buatlah tetapi saya tetap dengan amanat itu lagipun Pak Lah sendiri memberi lampu hijau, " terang beliau. - mks.

Anwar Ibrahim ditabal Ketua Imam Khalifah Besar Pusaka Gayong Malaysia

Mohd Sabri Said
Tue | Aug 07, 07 | 03:13:06 PM

PERMATANG PAUH, 7 Ogos (Hrkh) - Dato' Seri Anwar Ibrahim ditabalkan sebagai Ketua Imam Khalifah Besar Persatuan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia semperna Seminar Memertabatkan Perpaduan Gayung yang diadakan di hadapan Yayasan An Nahdhoh, Kampung Petani, Kubang Semang, Bukit Mertajam petang semalam.
ImageMajlis pertabalan itu diberikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia, Cikgu Majid Mat Isa yang disaksikan oleh anak pengasas Seni Silat Gayung Malaysia, Dato' Mior Abdul Rahman Daeng Kuning Mohd Hashim iaitu Siti Fadhilah.
Menurut Cikgu Majid, ada dua aspek utama kenapa Dato' Seri Anwar ditawarkan ke pangkat tersebut iaitu pesanan Dato' Mior Abdul Rahman dan bekas Ketua Imam Khalifah Besar pertama pertubuhan ini, Dato' Haji Harun Idris.
"Tindakan menabalkan Dato' Seri Anwar bukan saya pandai-pandai lakukan sebaliknya amanat daripada Dato' Mior Abdul Rahman sebelum meninggal dunia pada tahun 1990 akibat sakit tua. Dia kata kamulah yang diharapkan jagalah gayung ni baik-baik dan pimpinlah adik-adik kamu terutamanya Badekul Zaman iaitu anak angkat Dato' Mior, " tegasnya pada Harakahdaily dan Malaysia Today.
ImageMaka sebab itu katanya, sesiapa pun yang cuba menghalang tindakan ini kena ubah persepsi agar jangan mengaitkan politik sempit dengan perpaduan yang hendak dilaksanakan menerusi seni mempertahankan diri.
Lagipun, semua yang terlibat seperti anak angkat Dato' Mior, Badek dan isteri kedua Dato' Mior mempersetujui cadangan itu,katanya.
"Selepas Dato' Harun meninggal Ketua Imam Khalifah Besar Persatuan silat ini kosong sehinggalah amanat ke dua datang dari mulut Dato' Mior sendiri supaya Dato' Seri Anwar diangkat menduduki singahsana itu, " katanya lagi.
Seramai 700 ahli persatuan silat ini berkampung di Yayasan An-Nahdhoh selama dua hari bermula petang Jumaat 3 Ogos lepas.
Selain dari seminar mereka berqiamulail, mendengar kuliah perdana oleh Ustaz Mutalib Maarof, persembahan seni gayung pusaka dan pembarisan gayung. - mks.