JANGAN menilai seseorang melalui penampilan luarannya saja. Alah... bukan semua yang pakai tudung itu hatinya baik. Lagipun, mana ada garis panduan atau fesyen khusus mengenai cara berpakaian untuk wanita Islam?
Pensyarah di Fakulti Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Zawawi Yusoh, berkata isu cara berpakaian wanita mengikut perspektif Islam sebenarnya sudah selesai.
Beliau berkata, jika isu itu dipertikaikan atau dibangkitkan, ia perlu melihat kepada motifnya sama ada ia dibincangkan dengan tujuan ingin tahu atau sekadar hendak memperlekehkan.“Islam kata nak pakai apa pun, pakailah tetapi perlu menutup aurat. Perkara ini sudah selesai kerana ia jelas. Sekarang ini sama ada hendak ikut atau tidak.“Jika yang bertanya bukan Islam, kita boleh terima kerana mereka tidak kenal Islam, maka mereka tidak tahu. Jika orang Islam sendiri yang mempersoalkannya, boleh jadi mereka kurang Islam,” katanya.Mohd Zawawi berkata, keistimewaan Islam sebagai cara hidup menyediakan panduan kepada umatnya termasuk menggariskan etika berpakaian dan ini tidak dimiliki agama lain.
Katanya, Islam menyediakan adab yang sesuai merangkumi kehidupan harian seperti adab makan, cara berpakaian, bekerja, berniaga dan semua yang berkaitan dengan keperluan manusia.Oleh itu katanya, dalam memperkatakan mengenai fesyen sesuai untuk wanita Islam, antara soalan yang perlu dijawab ketika memilih pakaian ialah tujuannya sama ada untuk menutup aurat atau ingin bergaya.“Mempersoalkan isu aurat dan fesyen pakaian wanita Islam ini juga jangan ada maksud yang tersirat. Perjuangan itu perlu mengikut syariat kerana kita tidak mahu dijadikan alat untuk memanjangkan lidah orang kafir.“Jangan nak perjuangkan hak wanita, pinjam idea Barat kerana Barat tidak pernah beri hak kepada wanita. Ikut cara Barat, mereka minta hak dari manusia. Hak wanita dalam Islam diberi oleh Allah,” katanya.
Beliau berkata, sebaiknya isu fesyen pakaian wanita Islam dijuruskan kepada perkara lebih besar dan memberi manfaat seperti mengambil peluang itu untuk membuka perniagaan berasaskan fesyen busana untuk Muslimah.Katanya, Islam bukan saja menyuruh umatnya menutup aurat tetapi juga memikirkan cara bagaimana suruhan itu dapat dilaksanakan. “Islam kata tutup aurat, mana bajunya. Kita fikirlah fesyen pakaian macam mana yang menutup aurat. Islam bukan suruh sediakan bajunya jika mampu, kuasai pasaran menyediakan pakaian menutup aurat.“Itu sepatutnya yang kita fikirkan bukan mempersoalkan mana dia garis panduan fesyen wanita Islam. Lagi satu, martabatkan wanita yang menutup aurat. Ini tidak, wanita pakai tudung kita gambarkan suka mengumpat, buat fitnah,” katanya.
No comments:
Post a Comment