Semalam belajar tentang darah nifas dalam bahagian perkara-perkara yang mewajibkan mandi dari kitab Fiqhul Manhaji Mazhab Syafi'ie. Ada kuliah Zohor di surau.
Ustaz cakap ramai orang masih jahil tentang darah nifas ni.
Mudahnya, darah nifas ialah darah yang keluar selepas kelahiran. Dipanggil nifas kerana darah keluar dari rahim bersama dengan nafs iaitu jiwa. Wanita-wanita yang berdarah nifas dipanggil nufasa'. Tempoh masa ialah minimum sehari semalam, kebiasaan (istiqra') 40 hari dan maksimum 60 hari dari hari bersalin. Selepas 60 hari, jika masih ada darah keluar, darah berkenaan dikira darah istihadhah (penyakit). Maka dari selepas 60 hari, jika masih keluar darah, wajiblah seseorang wanita mandi dan menunaikan solat. Hukum wanita yang ada darah nifas ditetapkan sama seperti wanita yang mengalami haid, iaitu tidak boleh solat, puasa, tawaf dan lain-lain.
Berbalik kepada point ustaz di atas. Ramai wanita sewaktu hendak melahirkan tumpah darah, sedikit atau pun banyak, sudah tidak solat fardhu. Pada hal, darah yang tumpah belum lagi dikira darah nifas, kerana keluarnya adalah sebelum kelahiran.
Memang kita sedia maklum, saat-saat menjelang kelahiran boleh jadi saat sangat-sangat menyakitkan. Mungkin berjam-jam atau sampai berhari-hari. Namun ianya tidak menggugurkan kewajipan solat fardhu walaupun jika keluar darah sekali pun. Jika mampu, tunaikanlah hatta dengan hati sahaja. Namun, jika tidak mampu solat dengan hati juga akibat kesakitan yang amat sangat, qadhalah solat berkenaan pada waktu suci yang akan datang.
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment