Monday, June 25, 2012

Berubah

Suka tengok orang berubah dari baik kepada lebih baik.
Orang-orang berkenaan menjadi lebih baik dari beberapa segi berbanding diriku sendiri.
Perubahan bermakna orang-orang berkenaan meningkat ke satu level yang lebih baik dari aspek hidupnya. Nilai dirinya.
Kuasa ALLAH SWT, melalui wasilah hamba-hambaNya menjadikan perubahan itu satu realiti bukan anganan mainan mimpi. Barangkali melalui pesanan dan ingatan. Mungkin juga melalui azam dan kemahuan. Atau pelbagai wasilah yang lain. Boleh jadi tiada alasan, cuma mahukan perubahan.
Mereka yang mengalami pengalaman berubah berkemungkinan besar ada rahsia tersirat, mengapa perubahan berkenaan dilakukan.
Orang yang berubah kepada lebih baik itu pastilah lebih tinggi martabatnya di sisi ALLAH dari orang-orang yang stay maintain je. Err, mungkin lebih hebat dari sejumlah orang.
Usahlah dipersoalkan tentang niat. Itu urusan mereka dengan ALLAH SWT.
Bersyukurlah dan bergembiralah dengan zahir perubahan ke arah kebaikan yang berkenaan.
Berdoalah semoga diteruskan berada dalam kebaikan. Berdoalah semoga rahmat perubahan itu dilembayungkan kepada diri kita juga. Berdoalah semoga ada nilai dalam diri kita berubah juga ke arah yang lebih baik.
Kepada mereka yang berubah, setiap perubahan pasti ada harganya. Cabaran dan dugaan tidak akan sunyi dalam hidup kalian.

Firman ALLAH SWT dalam Surah Hud ayat 88, maksudnya, " Syu’aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali. "

FirmanNYA lagi dalam Surah al-Qasas ayat 56, maksudnya, " Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk. "

FirmanNYA lagi dalam Surah al-Ankabuut ayat 2 - 3, maksudnya, "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? [2] Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. [3] "

Sirru 'ala barakaatillah!

No comments: