Monday, August 01, 2011

Cerita 1 Ramadhan 1432H, tazkirah tarawih & merahsiakan pertunangan

Alhamdulillah, buat kesekian kalinya ALLAH SWT mengizinkan diri ini berpuasa dalam bulan Ramadhan 1432H. Ramadhan ini kali ke-2 dilaksanakan di kuarters. Ramadhan ini juga bertambah ahli keluarga dengan anak ke-2, 'Aishatul Hanan. Semoga Ramadhan kami, kita lebih baik dari sebelum-sebelumnya.

Aku berpeluang solat isya' dan tarawih di Surau di Taman Beringin semalam. Ramai jemaah, tua muda, besar kecil, lelaki perempuan yang hadir mengejar pahala Ilahi. Sebelum solat tarawih, Imam mengumumkan ada masalah mikrofon bilal, jadi solat tarawih jadi lewat sedikit. Dalam berseloroh, tok Imam pesan, kita rehat-rehat dulu, inikan solat tarawih.

Elemen rehat dalam solat tarawih semacam sering kali dilupakan dalam bulan puasa ini. Sebilangan imam dan makmum solat dalam keadaan nak cepat saja. Bukanlah untuk disuruh rehat setiap kali seusai 2 rakaat ditunaikan, namun elakkanlah tergesa-gesa, terburu-buru sehingga mencacatkan solat, memenatkan jemaah.

Solat tarawih di sini diselangi dengan tazkirah selepas 4 rakaat solat tarawih. Ingatkan surau di WP tak ada yang bagi tazkirah lantaran kekangan JAWI, tapi ada rupa-rupanya. Semak balik surau berdekatan anda jika anda tinggal di WP.

Ustaz ada highlight berkenaan wajibnya menuntut ilmu dan sunatnya solat tarawih. Dalam majoriti keadaan, amalan wajib hendaklah didahulukan. Jadi menuntut ilmu, mendengar tazkirah adalah sebenarnya suatu suruhan yang terlebih mulia. Sebab itulah lebih afdhal mencari tempat solat tarawih yang ada penyampaian tazkirah di dalamnya. Kedua-dua pahala sunat & wajib akan kita perolehi, insya ALLAH.

Ustaz menarik perhatian berkenaan puasa yang haram di dalam Ramadhan, iaitu puasa sunat. Juga jika terlupa niat tapi masih bangun sahur, maka sah puasa. Ini kerana, seseorang bangun sahur bukanlah saja-saja bangun, tapi untuk berpuasa di siang harinya. Niat, menurut ustaz, bukanlah seperti yang disebut satu-satu, tapi ianya lintasan hati. (satu lagi puasa yang haram di dalam Ramadhan ialah puasa qadha. Niat bukanlah seperti membaca senyap macam baca artikel ni, tapi ianya lintasan hati - pen.)

Satu lagi dari ustaz berkenaan ialah, menyelia ibadah ahli keluarga yang belum baligh di bulan puasa. Sering kali ibadah yang ada imbuhan ialah penuhnya puasa Ramadhan. Segelintir kita terlepas pandang dalam memerhatikan solat sebagai tiang agama; cukupkah 5 waktu sehari semalam? Jika puasa boleh dilakukan dengan susah payah, mengapa tidak solat? Perlu juga diperhatikan solat dan tidak difokuskan terhadap puasa semata-mata. Jika sempurna, hadiahkanlah sesuatu untuk menyemarakkan semangat mereka.

Balik tarawih, surf Facebook dan tengok komen seorang kawan terhadap status Facebook-nya. Kemudian aku cari sedikit info. Aku terkejut dengan berita Apek ini. Benarlah komen di status Facebook berkenaan. Maka, inginlah aku mencoret sedikit tentang pertunangan ini.

Menurut Mazhab Syafi'ie, pertunangan atau al-khitbah adalah perbuatan seseorang yang menyatakan hasrat ingin berkahwin terhadap seseorang yang lain. Semudah itu, Tidak ada majlis, tidak ada hantaran. Namun, adat Nusantara menghalusi amalan ini dan menghiasinya dengan ziarah, berbalas pantun dan sebagainya.

Apa yang berlaku sekarang seolah-olah majlis pertunangan dibuat dengan besar seperti majlis akad majlis walimah lagaknya. Hebahan dibuat merata tempat, secara zahir atau maya. Gambar-gambar dimuatnaik di merata-rata tempat. Pendek kata, pencanangan pertunangan itu sangat bombastik. Ada yang menyediakan kontrak pertunangan andai berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya kepada mana-mana pihak.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui anjuran Islam dalam hal bertunang. Ada sepotong hadis Nabi SAW berkenaan saranan supaya merahsiakan pertunangan.

Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan.” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil).

Nabi SAW juga melarang meminang tunangan orang lain.

Pertunangan adalah satu proses penandaan. Memang kedua-dua pihak berharap ianya akan kekal hingga ke akad nikah nanti. Namun, 'penandaan' itu bukanlah sesuatu yang pasti seperti akad nikah. Antara sisi tidak baik dari penzahiran bertunang atau tidaknya diri sendiri atau seseorang yang lain:

1. Maruah akan tercalar jika ada pihak yang menarik diri atau ingin memutuskan pertunangan. Maruah ini termasuk diri, ahli keluarga & sahabat handai.
2. Hubungan silaturrahim mungkin terjejas disebabkan berbalas-balas kenyataan yang berat-berat dan tidak sepatutnya.
3. Pembaziran apabila berlaku pemulangan barang-barang yang digunakan
4. Kesukaran untuk menghapuskan bukti bergambar dan mengelakkannya dari tersebar lebih luas
5. Membuka perluang fitnah oleh pihak yang bukan dari peminang & yang dipinang serta ahli keluarga mereka.


Sebab itulah, pertunangan sangat elok untuk dirahsiakan. Mereka yang mengetahui tentang satu-satu pertunangan; ahli keluarga atau sahabat handai; perlulah amanah & berperanan menjaga rahsia.

Apakah penyelesaiannya apabila ditanya tentang status diri? Cukuplah sekadar dengan memberi isyarat atau perumpamaan atau kinayah yang tidak membuka lebih soalan sehingga terbukanya rahsia berkenaan.

Wallahua'lam.

2 comments:

Anonymous said...

Assalam,

Saya merujuk kepada perenggan ketiga "Sebilangan imam dan makmum solat dalam keadaan nak cepat saja. Bukanlah untuk disuruh rehat setiap kali seusai 2 rakaat ditunaikan, namun elakkanlah tergesa-gesa, terburu-buru sehingga mencacatkan solat, memenatkan jemaah."

Pada pendapat saya, cepat atau lambat adalah subjektif. Kecepatan imam dan program solat Tarawih biasanya atas kehendak majoriti makmum. Daripada merungut mengenai imam & makmum sesebuah surau/masjid, adalah baiknya jika kita mencari surau atau masjid yang sesuai dengan tahap dan keperluan kita.

Hanya pandangan dari saya.

Wassalam.

Teku said...

Ya, betul. Pencarian, pada waktu berkenaan adalah berterus2an.