Wednesday, October 21, 2009

Ulang Tahun ke-19


Hari ini Nik Aziz 19 tahun mentadbir Kelantan
Wan Nik Wan Yussof

Wed | Oct 21, 09 | 2:34:55 pm MYT
ANALISA
Hari ini, Rabu, 21 Oktober 2009 adalah ulang tahun ke-19 pentadbiran kerajaan negeri Kelantan di bawah kepimpinan ulamak.
Sekaligus mengesahkan telah 19 tahun Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan. Ia juga adalah ulang tahun ke-19 bagi pelaksanaan slogan Membangun Bersama Islam yang dijadikan panduan perancangan pembangunan negeri.
Ia satu slogan yang mendahulukan nilai-nilai ad-din di dalam memenuhi harapan rakyat. Ini juga bermakna, selama 19 tahun prinsip pentadbiran berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan telah dijadikan amalan oleh seluruh agensi kerajaan negeri Kelantan.
Maka, selayaknya telah berlaku kesan nyata daripada perancangan dan pelaksanaan ke atas tiga aspek perjalanan kerajaan negeri ‘falsafah kepimpinan, slogan dan prinsip pentadbiran’ sekaligus menobatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai menteri besar yang ulung menerajui eksekutif kerajaan negeri.
Justeru itu, sempena mengingati ulang tahun ke-19, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menerajui kepimpinan ulamak mentadbir negeri Kelantan, semua laluan sejarah lepas sewajarnya dijadikan pengalaman, demi menyongsong kejayaan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
Pengorbanan untuk generasi muda
Laluan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sejak menjawat Ketua Ulamak PAS Pusat dan kini selaku Mursyidul Am PAS amatlah terukir indah di setiap wajah rakyat Kelantan.
Ilmunya adalah cahaya, perwatakannya adalah idola dan sentuhan pentadbirannya adalah keberkatan untuk seluruh rakyat.
Justeru itu, ilmu agama yang ada di dadanya sentiasa dicurahkan kepada rakyat Kelantan menerusi kuliah pagi Jumaat, khutbah Jumaat dan ceramah yang segar serta tulisan yang tercetak.
Atas kapasiti keilmuan yang dicurahkan dan ratusan ribu rakyat menelaah ilmunya, layaklah rakyat menobatkan menteri besar yang mengemudi kepimpinan ulamak itu adalah seorang ulamak sebenar bergelar 'Tuan Guru'.
Kerana di sebalik itu, cukup ramai individu ulamak yang kaya ilmu agamanya, tetapi loket di dalam mencurahkan ilmunya untuk diraih oleh rakyat. Justeru itu, tidak mungkin ditemui dalam dekad ini menteri besar seumpama menteri besar Kelantan.
Sesungguhnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah 19 tahun bergelar 'Yang Amat Berhormat Tuan Guru Menteri Besar' yang sentiasa mengorbankan ilmunya untuk rakyat.
Inilah wajah kepimpinan ulamak yang dipaparkan kepada generasi rakyat Kelantan hari ini. Mudah-mudahan ‘ilmu tuan guru’ bakal membina generasi muda masa kini untuk mencipta kejayaan masa depannya.
Berkat taburan ilmu itu, kini Kelantan bukanlah negeri yang terpinggir dengan isu-isu pembangunan. Daripada ilmu yang ditaburkan, Kelantan sudah menjadi negeri yang seiringan dengan negeri lain dari segi pembangunan fizikal dan rohani.
Meskipun, masih ada tohmahan dan cakap-cakap sinis kononnya Kelantan adalah negeri termundur dan ketinggalan dari segi pembangunan sosio-ekonomi, namun kualiti hidup rakyatnya sudah menjawab dengan tepat bahawa kesemua tohmahan itu adalah cakap politik yang berniat memburuk-buruk keupayaan kepimpinan ulamak sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilantik menteri besar.
Justeru itu, kepimpinan ulamak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah menobatkan (establishment) 20 nilai pembangunan negeri Kelantan seperti mana berikut:
1. Sifat cakna rakyat penuh berkebajikan,
2.
Bangunan pejabat dan gudang bertambah dan tersergam,
3.
Prasarana kesejahteraan awam tersirat kukuh,
4.
Ladang getah dan kelapa sawit luas menghijau,
5.
Sawah bendang menguning setiap musim,
6.
Hutan dan lurah sedia ditereskan,
7.
Kadar kemiskinan menjunam turun,
8.
Kuasa beli rakyat mampu menyara survival pasaraya,
9.
Pertambahan kenderaan bersimpang siur,
10.
Taman perumahan melebar ke serata negeri,
11.
Bandar lama dan baru makin berkembang,
12.
Kehadiran pelancong terus melonjak,
13.
Pesta, ekspo dan karnival terlaksana setiap tahun,
14.
Gaji kakitangan awam tidak pernah dikurang,
15.
Pendidikan Islam terbaik dan pelajar cemerlang terserlah setiap tahun
16.
Kolej, universiti dan sekolah bestari makin bertambah bilangan,
17.
Kilang dan produknya terus beroperasi melonjak peluang ekonomi,
18.
Perancangan pembangunan sentiasa berlaku,
19.
Punca hasil baru terus diterokai,
20.
Baki hutang kerajaan dahulu sudah terlunas. Kesemua nilai pembangunan dinyatakan di atas adalah ukuran mutlak bagi mengiktiraf betapa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dan sosial sudah berlaku dan tidak terpinggir.
Oleh kerana itu, negeri Kelantan sepanjang 19 tahun di bawah kuasa politik PAS telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Kelantan. Di atas 20 establishment itu, amatlah tidak adil untuk meletakkan status pembangunan negeri Kelantan sebagai negeri mundur.
Maka, sempena ulang tahun ke-19 kepimpinan ulamak mengurus-tadbir kerajaan negeri Kelantan ini, diharapkan bersama-samalah kita dapat membuka mata dan telinga untuk menerima realiti, betapa negeri Kelantan hari ini adalah sebuah negeri yang sudah jauh maju setanding dengan negeri-negeri lain di negara ini.
--------------
Penulis adalah Pengarah, Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan. _
Sumber Harakahdaily.

No comments: