Wednesday, February 20, 2008

PAS letak 3 calon berwibawa di Wilayah Persekutuan

Nyza Ayob
Wed | Feb 20, 08 | 3:30:08 pm MYT

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengharapkan tiga calon PAS yang mewakili Wilayah Persekutuan dapat diterima masyarakat umum berdasarkan latar belakang dan kredibiliti mereka.

Beliau berkata demikian sebaik sahaja mengumumkan calon PAS yang akan bertanding di Wilayah Persekutuan. Tiga calon PAS tersebut ialah Mohamad Noor Mohamad, calon Parlimen Putrajaya, Dr Lo'lo' Ghazali, calon Parlimen Titiwangsa dan Matusin Abdul Rahman, calon Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan.

Mohamad Noor Mohamad merupakan bekas pengurus Perbadanan Pembangunan Wilayah (UDA), Dr Lo'lo' Ghazali merupakan pakar perubatan dan Matusin Abdul Rahman merupakan bekas pegawai syarikat petroleum Shell.

Pengumuman tersebut dilakukan di Markas PAS Titiwangsa, Darul Ummah, Kampung Pandan malam tadi dalam satu ceramah umum. Hampir 5,000 di kalangan penyokong PAS membanjiri ceramah tersebut. Turut serta dalam ceramah tersebut selain Mohamad Noor Mohamad dan Dr Lo'lo' Ghazali, ialah mantan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan, Subky Latif dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan, Ishak Surin. Ceramah tersebut turut dihadiri beberapa orang wakil Kelab Penyokong PAS kaum India.

Abdul Hadi dalam ceramahnya menyatakan sebagaimana yang dilaungkan dalam tawaran negara berkebajikan PAS, aspek pendidikan yang menjadi hak rakyat akan menjadi keutamaan PAS di mana PAS akan menekankan penggunaan bahasa ibunda dalam bidang pendidikan.

Selain itu, beliau turut mengulangi kenyataannya sebelum ini iaitu sekiranya PAS memenangi pilihan raya, parti itu akan membenarkan demonstrasi aman bagi memberikan kebebasan rakyat untuk bersuara.

"Apabila rakyat berani menegur kerajaan, rakyat boleh membetulkan kesilapan dalam pentadbirannya. Jika kerajaan silap, kerajaan mesti jawab. Ini adalah demokrasi sebagaimana yang dinyatakan dalam Islam iaitu keadilan untuk semua.

"Keadilan adalah asas untuk semua. Bahkan sewaktu PAS memerintah Terengganu, PAS menghapuskan cukai kediaman walaupun ada di kalangan penduduk bukan beragama Islam kerana itu merupakan tanggung jawab kita," katanya.

Abdul Hadi turut melahirkan kekesalan kerana kerajaan Barisan Nasional yang memartabatkan Islam Hadhari gagal menyediakan kebajikan kepada rakyat.

"Jika kamu (merujuk kepada BN) tidak dapat melaksanakannya, kami yang akan laksana. Nak buat macam mana kerana duit banyak'bocor'. Beli kapal selam harga berjuta-juta dan rasuah 400 juta.

"Ini termasuklah penyelewengan dalam KWSP dan Tabung Haji. Dalam tahun 80an berbahas di Parlimen kerana kerajaan membeli pesawat Skyhawk di Amerika Syarikat yang dianggap canggih dan diletak di padang pasir Arizona, tetapi tidak boleh terbang dan hanya menjadi besi buruk. Jika begini bagaimana nak laksanakan negara berkebajikan kerana banyak berlaku 'kebocoran'," katanya yang mengundang ketawa hadirin.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menaruh keyakinan PAS pasti boleh membuat perubahan walaupun ramai pihak tidak yakin dengan keupayaan PAS untuk membuat perubahan.

Katanya walaupun PAS bertanding lebih 60 buah kerusi, PAS boleh membuat perubahan apabila semua kaum memberi sokongan kepada PAS.

"Jika Umno tidak boleh umum lagi siapa jadi calonnya, kita dah umumkan di beberapa buah negeri," katanya.

No comments: