Mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan negara Malaysia, Tengku Razaleigh Hamzah di dalam Buletin Utama malam tadi (4 Februari), mengapakah baru sekarang saranan berkenaan dikeluarkan? Ku Li menyeru supaya budaya pemberian subsidi dihapuskan sedikit demi sedikit. Antara alasan beliau ialah kos pembangunan negara yang makin meningkat dibandingkan dengan hasil yang diperolehi oleh negara yang semakin menurun membebankan kerajaan. Beban kerajaan semakin bertambah ekoran pemberian subsidi minyak yang banyak.
Ku Li mengakui, rakyat tidak akan bersetuju dengan pemotongan subsidi oleh kerajaan. Mengambil contoh subsidi minyak, beliau mengakui adanya golongan yang tidak bersetuju harga minyak dinaikkan untuk menampung beban subsidi kerajaan.
Budaya tongkat, subsidi dan sewaktunya dengannya sudah lama didoktrinkan di Malaysia ini. Boleh dikatakan sejak bangsa asing, mulai Portugis menapakkan kaki di Melaka, masyarakat negara ini terutamanya bangsa Melayu diasuh untuk bergantung dengan orang lain. Lihat saja pembentukan perlembagaan Malaysia, perlembagaan British yang menjadi asasnya. Tidak salah untuk meminta panduan namun, jika kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan, apa dah jadi? Negeri-negeri Melayu sudah ada undang-undang yang boleh dijadikan asas, namuan tidak dipedulikan. Kebergantungan kepada British juga yang diharapkan.
Kerajaan UMNO/BN yang memerintah terus menyuburkan budaya tongkat atau budaya subsidi ini sepanjang masa pemerintahannya. Ini dapat dilihat dengan sikap bias dan kronisme mereka dalam perebutan-perebutan tender awam dan GLC, dengan penganugerahan tender/kontrak kepada golongan mereka sahaja. Selain itu, budaya tongkat yang lain seperti 'cable besar-kecil' dalam proses-proses penukaran penempatan pengajaran guru atau penempatan/kemasukan murid terpilih ke sekolah berasrama subur mekar di kalangan ADUN-ADUN UMNO.
Yang hairannya, mengapa 'subsidi' yang menjadi keperluan penting pembangunan negara seperti pembiayaan pendidikan dimansuhkan beransur-ansur dengan pemansuhan Biasiswa (bukan pinjaman boleh-ubah) MARA dan JPA, pengenalan PTPTN yang membebankan, dan mulai 1 Januari 2008 mewajibkan semua pelajar IPT, ibu bapa mereka atau penjaga mereka pelajar mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)? Apakah logiknya tongkat yang membawa sokong majoriti rakyat dipatahkan sedangkan tongkat-tongkat yang menjunjung segelintir kroni masih dibenarkan kukuh berdiri?
Sedarlah Ku Li. Anda sendiri mengakui bahawa rakyat memang tidak dapat menerima pengurangan subsidi kerajaan apatah lagi memansuhkannya. Namun seakan tidak mahu berpijak di bumi nyata, anda masih lagi menegaskan pemberian subsidi wajar beransur-ansur dimansuhkan tanpa pun sedikit menyentuh tongkat subsidi yang perlu kerajaan bina semula dalam bidang pendidikan. Jika benar inginkan perubahan, ubahlah rakyat dengan suara majoriti rakyat yang perlukan lebih banyak lagi bantuan. Jika anda tidak mampu berilah kami peluang. Kami mampu mengubahnya. Insya ALLAH.
No comments:
Post a Comment