Hijrah biasanya difahami sebagai berlakunya peristiwa perpindahan Rasulullah S.A.W, ahli keluarga dan para Sahabat r.a dari Mekah Mukarramah ke Madinatul Munawwarah, meninggalkan segala harta benda yang sangat disayangi.
Antaranya rumah tangga, kebun halaman, kedai-kedai perniagaan, binatang-binatang ternakan dan segala aset hidup, dengan bergadai nyawa melintasi padang pasir pergi ke destinasi baru 'Madinatul Munawwarah' tanpa sebarang cagaran hidup, selain daripada keyakinan untuk menyebarkan Islam serta mendaulatkan sistem hidup berkerajaan.
Kota Madinah pada ketika itu merupakan tempat yang paling sesuai bagi mendaulatkan Islam kerana penduduknya lebih memahami selok belok agama wahyu, sebab mereka biasa menerima maklumat daripada kaum Yahudi tentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. melalui Kitab Suci Taurat.
Kegiatan politik dan pemerintahan Islam di Madinatul Munawwarah telah menjadi asas dan teras yang paling kukuh dalam mendaulatkan sistem hidup Islam yang syumul (menyeluruh) meliputi perlembagaan, pendidikan, ekonomi, sosial, kebudayaan, ketenteraan, hubungan antarabangsa dan sebagainya.
Alhamdulillah, negeri Kelantan Darul Naim yang selama ini terkenal sebagai Negeri Serambi Mekah telah berjaya mempelopori semangat Hijratur Rasul yang berlaku lebih 1400 tahun yang lalu.
Semangat ini tetap menjadi agenda ajaran Islam sehingga ke hari kiamat kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud): "Orang yang benar-benar berhijrah ialah orang yang berhijrah meninggalkan segala perkara yang ditegah oleh Allah".
Kelantan sedang meneruskan semangat hijrah tersebut dengan meninggalkan riba, meninggalkan amalan mendedah aurat, meninggalkan sikap tidak mengambil cakno terhadap fakir miskin, meninggalkan hiburan-hiburan yang membawa kepada dosa dan maksiat dan meninggalkan fahaman dan semangat sekular yang mengasingkan agama daripada politik, yang dipaksikan dengan prinsip 'ubudiyyah, mas'uliyyah dan itqan.
Sesungguhnya kejayaan yang paling besar dalam hijrah ialah kejayaan membentuk kerajaan yang dapat mentadbir negara berpandukan ajaran Islam yang bertujuan untuk membawa kemaslahatan dan kebahagiaan hidup dunia dan akhirat.
Inilah juga kejayaan paling besar di Kelantan. Kita berjaya membentuk kerajaan yang mengawal Islam daripada gangguan-gangguan syirik, maksiat dan kefasikan. Dan menyuburkannya dengan mengadakan bermacam-macam program yang kesemuanya berjumlah kira-kira seratus jenis pembaharuan.
Di antaranya ialah mewujudkan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah yang telah dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan sendiri dengan tujuan untuk mencetuskan pengertian bahawa Al-Quranul Karim dan sains perlu bahu membahu.
Kelantan Darul Naim walaupun memiliki kelengkapan yang agak kurang, tapi Allah S.W.T Maha Mengetahui sejak awal-awal lagi bahawa kita sedang berpegang pada seutas tali yang di hujung sana dipegang sendiri oleh Nabi Muhammad S.A.W yang ditauliahkan dengan anugerah:
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada keperibadian dan kepimpinan Rasulullah S.A.W itu terdapat contoh ikutan yang terbaik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan syurga) di akhirat serta dia pula berzikir (menyebut dan mengingati) Allah banyak-banyak (baik semasa susah mahupun semasa senang)." - (Surah al-Ahzab: 21).
Dengan ketetapan inilah kita pegang kemas-kemas tali Allah ini walaupun terpaksa mendaki gunung dan menurun lurah dengan berbekalkan doa, semoga anugerah Ilahi ini dikekalkan berterusan, dengan ingatan syarat-syarat makbul doa iaitu:
"Hendaklah kamu tetap menjalankan perintahku secara berterusan (dengan penuh istiqamah) dan janganlah kamu mengikut jalan orang-orang yang tidak berilmu pengetahuan (mengenai janji-janjiKu di akhirat)". - (Surah Yunus: 89).
Sesungguhnya Allah S.W.T telah mewajibkan kita melaksanakan kerja-kerja amar ma'ruf dan nahi munkar. Tanggungjawab tersebut tidak dapat disempurnakan kecuali dengan wujudnya kekuatan, kuasa pemerintahan dan daya kepimpinan yang cemerlang.
Lantaran inilah telah diriwayatkan bahawa: "Sesungguhnya as-Sultan atau pihak pemerintah itu merupakan bayangan Allah di muka bumi ini".
Lantaran inilah juga terdapat ulama Salafus Soleh seperti al-Fudhail bin 'Iyadh, Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi yang mengatakan:
"Sekiranya kami memiliki suatu peluang keramat, apabila berdoa terus diperkenankan oleh Allah, pastilah kami akan pergunakan peluang doa keramat tersebut kepada pihak pemerintah dan Sultan sesebuah negeri, supaya Allah menganugerahkan hidayah dan taufiq-Nya".
Ini kerana dengan taufiq dan hidayah kepada raja dan pihak pemerintah, banyak pihak dan pelbagai institusi yang wujud dalam sesebuah negara berkenaan akan menjadi baik dan dipantau dengan rahmat Allah S.W.T.
Aamiin, Yaa Rabbal 'Aalamiin.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
No comments:
Post a Comment