Sebagaimana yang tuan/puan sedia maklum bahawa amalan bertepuk tangan merupakan kebiasaan yang berlaku dalam budaya masyarakat dunia samada dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Kadang-kadang ia lahir secara spontan dalam suasana riang dan bersemangat dan juga sebagai tanda penghormatan.
Kajian telah menunjukkan bahawa amalan bertepuk tangan tidak dilakukan oleh segelintir umat Islam atas beberapa alasan iaitu:
1. Amalan ini menyalahi adab Islam.
2. Ia suatu perbuatan yang tidak Islamik.
3. Ia adalah amalan syaitan.
4. Ia tidak sesuai dengan majlis keagamaan.
Adalah dimaklumkan bahawa ada segelintir umat Islam tidak mengetahui hukum bertepuk tangan yang sebenar. Secara turun temurun ia menjadi suatu amalan yang tidak dibolehkan dan dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Sebenarnya anggapan ini dibuat tanpa merujuk kepada nas-nas yang sahih dan dalam masa yang sama tidak ada suatu kenyataan bertulis dari para sarjana masa kini yang menolak tanggapan umum mengenai amalan ini.
Suatu hakikat yang tidak dinafikan ialah kejahilan dalam beberapa aspek hukum Islam menjadikan anggapan ini seolah-olah suatu yang benar. Masyarakat Islam khususnya Warga Takaful Malaysia sewajarnya mempunyai pengetahuan yang jelas dan tepat mengenai perkara ini dan beberapa aspek hukum yang lain yang kadang-kadang difahami secara tradisi tanpa bukti atau nas yang nyata. Justeru Jabatan Syariah berusaha untuk berkongsi pandangan para sarjana Muslim dengan tuan/puan mengenai amalan bertepuk tangan ini. Apatah lagi Takaful Malaysia pula sering menganjurkan majlis-majlis tertentu yang sebahagiannya melibatkan tetamu VIP dari luar yang kalau tiada tepukan maka ia menampakkan tiada semangat atau tidak memberangsangkan atau tiada penghormatan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan ucapan dari tetamu kehormat atau pemimpin masyarakat.
Pandangan Sarjana Muslim
Tidak ramai para fuqaha yang membincangkan soal ini secara terperinci. Suatu yang pasti kesemua fuqaha dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak langsung menyentuh perkara ini dalam kitab-kitab mereka.
Meskipun ada fuqaha dari mazhab Syafie yang membicarakan soal ini dalam kitab-kitab mereka namun ianya dibicarakan secara ringkas dalam suatu ruang yang agak sempit di bawah tajuk hukum bertepuk tangan (bagi makmum lelaki) dan bertasbih (bagi makmum wanita) dalam sembahyang apabila berlaku kekhilafan di pihak imam.
Begitu juga dengan kitab-kitab tafsir dan hadith juga tidak membicarakan soal ini malah kitab-kitab tentang adab juga tidak menyentuhnya dalam perbincangan mereka.
Secara umumnya berdasarkan pandangan beberapa fuqaha dari mazhab Syafie berkenaan amalan bertepuk tangan di luar dari perlakuan sembahyang boleh dibahagikan kepada 2 keadaan:
1. Bertepuk tangan tanpa ada keperluan.
2. Bertepuk tangan ketika ada keperluan.
Bertepuk Tangan Tanpa Ada Keperluan:-
Imam Al-Ramli r.m dalam Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Syeikh Abi Syuja’ dalam pandangan muktamadnya bahawa adalah makruh bertepuk tangan jika tanpa tujuan (samada tanpa tujuan mempermainkan atau tanpa tujuan memberi semangat atau tanpa tujuan memberikan penghormatan).
Imam Ibnu Hajar r.m dalam kitabnya Syarh al-Irsyad pula berpendapat bahawa makruh hukumnya bertepuk tangan jika bertujuan untuk mempermain-mainkan.
Kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa dalam keadaan yang tidak memerlukan seperti main-main atau sebagainya amalan bertepuk tangan ini menjadi makruh.
Bertepuk Tangan Ketika Ada Keperluan:-
Para sarjana Muslim atau fuqaha bersependapat bahawa dalam keadaan-keadaan yang memerlukan tepuk tangan seperti untuk memberikan penghormatan, perangsang dan sebagainya maka amalan bertepuk tangan bukanlah suatu yang dilarang atau haram. Kesimpulannya bertepuk tangan bukanlah suatu kesalahan di sisi Islam malah ia merupakan suatu keperluan yang amat digalakkan untuk menimbulkan suasana yang ceria dan memberangsangkan dalam sesuatu majlis tidak kira samada majlis itu rasmi atau tidak, majlis itu berunsurkan keagamaan atau tidak, asalkan ia bukanlah majlis yang ditegah oleh Syarak untuk menghadirinya.
Anggapan bahawa amalan bertepuk tangan menyalahi adab dan Syariat Islam adalah salah dan tidak sabit dalam mana-mana nas malah tidak ada nas yang menyatakan amalan ini adalah perbuatan syaitan.
Sehubungan dengan itu Warga Takaful Malaysia diharuskan untuk bertepuk tangan dalam majlis anjuran Syarikat seperti majlis pelancaran produk dan sebagainya dengan tujuan untuk menceriakan suasana, memberi semangat kepada peserta yang hadir serta sebagai penghormatan kepada mana-mana pemimpin atau tetamu kehormat selepas mereka habis berucap.
MOHD FAUZI MUSTAFFA
Shariah Dept
Syarikat Takaful Malaysia Berhad.
1 comment:
hello encik, Selamat tengah hari saya ucapkan terlebih dahulu.
Bulan puasa adalah bulan yang mulia untuk semua umat islam di seluruh dunia. Dan saya rasa statement yang encik bentangkan adalah salah.
Ini adalah kerana kita duduk di Negara yang berbilang kaum. Sebagai seorang manusia kita perlu lah menghormati kepercayaan orang lain walaupun kita tidak mempercayainya.dengan mengucapkan SELAMAT kepada kaum lain tidak kira Cina, india, atau pun Sikh pada hari kebesaran mereka. Ia tidak akan menambah dosa atau pun mengurangkan imej anda. Statement anda mungkin menjejaskan imej anda kerana pandangan anda yang serong dan kalot itu. apa salahnya kalau kita mengucapkan ayat SELAMAT itu kepada kawan kita, adakah ia membebankan anda??
Post a Comment