Monday, October 23, 2006

Salam 'Idulfitri

Selamat Hari Raya ‘Idulfitri dan Maaf banyak2 di atas segala salah dan silap yang pernah dibuat…

Semoga selamat pulang beraya dan selamat kembali dari beraya dengan keadaan yang baik dan selamat.

من العاء دين والفائزين

tgk betul minal 'aidin bukan minal aidil atau minal aidin
menurut ustaz badrul amin dlm kuliahnya di darul takaful pada rabu sebelum raya.

Wednesday, October 04, 2006

10 Kesilapan Lelaki (diceduk dp laman Idealis-Mahasiswa)

Segala yang dipaparkan di bawah masih boleh diterima dan ditolak. Penerangan ini tidak qot'ie. Sekadar pandangan manusia biasa untuk memudahkan komunikasi antara manusia yang dijadikan berpasang-pasangan laki-laki dan perempuan oleh ALLAH Ta'ala.

oleh: AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN (syukran@kosmo.com.my)
sumber: Kosmo Jumaat 21 April 2006


KITA semua sedia maklum, wanita adalah ciptaan tuhan yang penuh misteri. Maka tidak hairanlah jika lelaki memang sukar untuk meneka apa yang ada di dalam fikiran mereka. Disebabkan tidak peka, tiada pengalaman dan perasan macho, ramai lelaki yang membuat pelbagai kesilapan ketika hendak menarik perhatian wanita yang disukainya.

Kesilapan ke-10: Menjadi lelaki yang terlalu 'baik'


Pernahkah anda tahu bahawa wanita yang cantik dan menarik biasanya tidak tertarik kepada lelaki yang terlalu 'baik'? Saya pasti anda mempunyai rakan-rakan wanita yang begitu vogue, tetapi sering berpasangan dengan lelaki yang pada pandangan anda kurang senonoh. Atas beberapa alasan lain pula, mereka tidak pernah menunjukkan minat untuk menjalin perhubungan romantik dengan anda atau lelaki lain yang nampak baik.

Kenapa keadaan ini berlaku? Sebenarnya, pilihan wanita terhadap seseorang lelaki bukannya berdasarkan sejauh mana baiknya lelaki tersebut. Wanita memilih seseorang lelaki kerana mereka dapat merasai kuasa tarikan yang dimiliki olehnya. Menjadi lelaki yang terlalu baik tidak semestinya akan membuat wanita merasai satu tarikan dan memilih anda. Kenyataan ini mungkin kedengaran tidak masuk akal dan sukar diterima, tetapi begitulah keadaannya.

Kesilapan ke-9: Cuba meyakinkan dia agar menyukai anda

Apa yang dilakukan oleh kebanyakan lelaki apabila mereka bertemu dengan wanita yang benar-benar disukainya, tetapi wanita itu buat tidak tahu sahaja? Betul! Lelaki akan cuba untuk meyakinkan wanita tersebut supaya berperasaan sebaliknya. Satu perkara yang harus anda ingat, lelaki tidak dapat mengubahnya menerusi logik akal atau sebab-sebab lain.

Jika wanita itu sudah tidak berminat, bagaimana anda jangka dia akan mengubah perasaan dengan cara mendengar alasan-alasan anda? Tetapi itulah yang biasa dilakukan oleh lelaki. Apabila wanita yang diminati itu tidak menunjukkan sebarang reaksi positif, lelaki merayu, mendamba dan mengejarnya agar dia berubah fikiran. Hentikanlah, buang masa sahaja.

Kesilapan ke-8: Meminta kebenarannya

Dalam usaha lelaki untuk melayan wanita, kita sering meminta kebenarannya untuk melakukan sesuatu. Ini satu lagi idea yang tidak pernah membantu. Wanita langsung tidak tertarik kepada lelaki yang suka bergantung dan sentiasa ingin mendapat 'pelepasan' daripadanya. Jangan salah sangka, bukannya anda perlu melayan wanita dengan buruk untuk memikatnya. Jika anda sering melakukan kesilapan ini, segera tinggalkannya, kalau tidak, anda yang akan ditinggalkan.

Kesilapan ke-7: Cuba untuk 'membeli' perasaannya

Berapa kali anda membawa wanita yang anda sukai untuk makan malam (mahal), membelikannya hadiah dan bunga, sedangkan dia lebih berminat kepada lelaki yang hanya melakukan separuh daripada usaha anda itu.

Kenapa begitu kesudahannya? Apabila anda melakukan perkara sebegini, anda sebenarnya memberikan mesej: "Saya tidak fikir awak sukakan saya seadanya. Jadi, saya akan cuba untuk membeli perasaan dan perhatian awak."

Niat baik itu biasanya dianggap oleh wanita sebagai satu rasa kurang selamat dan manipulasi. Jadi, tidak perlu bazirkan wang anda untuk terlalu memanjakannya.

Kesilapan ke-6: Berkongsi perasaan terlalu awal

Satu lagi masalah utama lelaki ialah gemar untuk menyatakan perasaan mereka terlalu awal. Wanita yang menarik sukar ditemui, malah mereka menjadi pujaan ramai lelaki dan sentiasa dipikat menggunakan pelbagai cara. Jadi, wanita seperti ini mempunyai banyak pengalaman dan tahu apa yang boleh dijangka. Tetapi lelaki tidak ambil endah perkara ini.

Tiada perkara lain yang akan membuatkan si dia menjadi bosan dan ingin terus lari apabila anda meluahkan perasaan cinta terhadapnya selepas sekali atau dua kali berjanji temu.
Isyarat ini hanya akan membuatkan anda sama sahaja dengan lelaki-lelaki lain yang terlalu cepat jatuh cinta dan tidak mampu mengawal diri sendiri. Jadi, bertenang, masih banyak cara dan masa untuk menyatakan perasaan anda itu.

Kesilapan ke-5: Tidak faham bagaimana tarikan atau minat itu berlaku

Wanita sangat berbeza dari aspek tarikan berbanding lelaki. Apabila lelaki terpandang wanita yang cantik, muda dan seksi, dia akan segera merasai tarikan seksual. Tetapi mekanisme tarikan wanita bukan pada pandangan luaran sahaja. Anda mesti biasa melihat pasangan yang seolah-olah 'tidak kena' (perempuannya cantik, pasangannya pula tidaklah sekacak mana).

Wanita sebenarnya lebih tertarik kepada kualiti yang dimiliki oleh seseorang lelaki. Sekiranya anda tahu menggunakan bahasa tubuh dan berkomunikasi dengan bijak, tidak mustahil anda mampu menarik perhatiannya.

Kesilapan ke-4: Salah anggap

Lelaki sering menganggap bahawa wanita cantik berminat kepada lelaki yang kaya dan kacak sahaja atau beberapa lagi kriteria lain (tahap pendidikan, keturunan). Akibatnya, mereka menyerah kalah sebelum mencuba. Memang betul ada wanita yang bersikap demikian, tetapi bukan semuanya.

Ada ciri yang dimiliki lelaki yang benar-benar didambakan oleh wanita. Jika anda menggunakan sepenuhnya kelebihan diri, tidak mustahil anda juga akan diminati.

Kesilapan ke-3: Memberi kuasa kepadanya

Seringkali berlaku, lelaki sanggup melakukan apa sahaja yang dimahukan oleh wanita. Kadangkala mereka hanya ingin menguji kecerdikan anda. Bagaimana anda boleh menjadi pemimpin keluarga yang baik jika semuanya berada di bawah telunjuknya?

Kesilapan ke-2: Gagal membaca situasi ketika janji temu

Bukan hendak menakut-nakutkan, tetapi wanita biasanya tahu apa yang anda fikirkan. Wanita dikatakan 10 kali lebih bijak dalam membaca isyarat atau bahasa tubuh.

Mungkin sukar dipercayai, tetapi itulah hakikatnya. Misalnya, anda sedang berjanji temu dan ingin menciumnya, percayalah, dia tahu hasrat anda itu. Jika anda tidak tahu bagaimana untuk memulakannya, dia akan buat tidak tahu sahaja.

Apa yang perlu anda buat ialah tahu bagaimana untuk masuk ke fasa seterusnya. Tetapi harus diingat, lakukannya dengan bijak dan berhati-hati.

Kesilapan pertama: Tidak mendapatkan bantuan

Inilah kesilapan paling besar yang biasa dilakukan oleh lelaki dan membuatkan mereka seringkali gagal memikat wanita. Jadi, lakukan sedikit pembacaan, beranikan diri dan minta nasihat daripada mereka yang pakar. Mungkin ada pengalaman yang mereka alami boleh anda jadikan panduan dan sempadan.

Maka mulai hari ini cuba elakkan daripada melakukan kesilapan-kesilapan di atas, ia mungkin dapat meningkatkan lagi peratusan kejayaan anda memikat wanita.

Ketetapan Waktu Imsak

Jabatan Syariah telah menerima banyak emel daripada tuan/puan yang bertanyakan tentang ketetapan waktu imsak yang didakwa oleh setengah orang sebagai tiada asas dalam agama. Dan emel tersebut juga telah disebar luas dikalangan Warga Takaful Malaysia. Jabatan Syariah akan menghuraikannya supaya kekusutan akan terlerai. Sebelum itu Jabatan Syariah ingin menasihati tuan/puan supaya tidak leka dengan persoalan sebegini sehingga kita mengabaikan tanggungjawab yang lebih besar.

Sebagaimana yang tuan/puan sedia maklum bahawa orang yang hendak berpuasa disunatkan supaya bersahur terlebih dahulu sebagaimana hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”.

Isu yang ditimbulkan ialah adakah wujud waktu imsak sebelum subuh iaitu antara 10-15 minit sebelum azan subuh. Ini kerana pada Zaman Rasulullah s.a.w didakwa tidak dibuat ketetapan bahawa mesti adanya waktu imsak sebelum azan subuh. Malah dalam surah al-Baqarah ayat 187, Allah Taala berfirman yang bermaksud: “…Makanlah dan minumlah sehingga kelihatan kepada kamu benang putih dari benang hitam (masuk waktu subuh)…”.

Untuk menghurainya beberapa perkara perlu diteliti dengan cermat bagi mengelakkan kita membuat tohmahan yang tidak berasas kepada para ulama terdahulu yang banyak berjasa kepada agama Islam, iaitu:

Waktu Imsak sebelum azan subuh adalah termasuk dalam perkara Ihtiyati yang bermaksud berjaga-jaga atau berhati-hati supaya tidak terbabas atau terlajak. Perkara ihtiyati ini berasaskan kepada kaedah fiqh yang berbunyi “Ittaqus Syubhaat” yang bermaksud berhati-hati dengan perkara syubhat. Dalam mazhab Imam Syafie, perkara ihtiyati ini memang dibincangkan panjang lebar.

(a) Antaranya sebagaimana yang disebut dalam Kitab Asybah Wan Nazoir karangan Imam as-Sayuti r.m di mana dibawa satu masalah feqah iaitu ada seorang yang bersahur dengan makan sayur kangkong. Dia berniat hendak berhenti makan sebaik terdengar azan subuh. Tetapi apabila kedengaran azan subuh, kangkong yang dimakannya itu terlekat di kerongkongnya. Jika dia menelannya maka batallah puasanya. Jika dia menariknya keluar pasti dia akan muntah dan akan terbatallah juga puasanya dengan sebab muntah tadi. Oleh kerana itu para ulama berbincang dan akhirnya dijadikan waktu imsak supaya orang yang bersahur lebih berhati-hati agar tidak terbabas makan dan minum atau melakukan hubungan jenis sehingga masuk waktu subuh.

(b) Dalam kitab Hasyiah Syarqawi karangan Syeikhul Azhar Imam As-Syarqawi ada disebut bahawa orang yang berpuasa kena ihtiyati apabila membuang air besar di dalam sungai. Ini kerana ketika dia membuang air besar maka saluran najisnya itu akan terbuka dan boleh menyebabkan air sungai memasuki saluran tersebut dan ianya boleh membatalkan puasa kerana memasukkan sesuatu ke dalam rongga.


(c) Dalam sebuah hadith Baginda Rasulullah melarang orang yang bangun dari tidur terus mencelupkan tangannya ke dalam bekas yang berisi air minuman kerana dia tidak tahu apa yang dipegang oleh tangannya ketika dia tidur malam tadi. Ini semua disebut dalam kitab Fekah mazhab Syarfie sebagai ihtiyati.

Dalam ayat 187 surah al-Baqarah dinyatakan supaya makan dan minum sehingga masuk waktu subuh. Ayat ini adalah makluman kepada kita tentang had masa untuk bersahur. Ia bukan bermaksud supaya kita menelan suapan terakhir ketika azan subuh dikumandangkan. Ianya adalah batasan masa untuk bersahur yang akan tamat sebaik sahaja masuk waktu subuh. Ulama menyebut bahawa Imsak setelah masuk waktu subuh adalah imsak wajib manakala imsak beberapa minit sebelum masuk waktu subuh adalah imsak sunat. Ini dinyatakan dalam Kitab at-Taqrirat as-Sadidah fil Masail al-mufidah bahawa imsak beberapa minit sebelum masuk waktu subuh adalah mandub (sunat).

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith daripada Anas bin Malik r.a bahawa Baginda Rasulullah s.a.w bersahur bersama-sama Zaid bin Thabit. Selesai bersahur Baginda bangun untuk mendirikan solat. Kami bertanya Anas: Berapa lama kadar masa antara bersahur dan azan subuh? Beliau menjawab: Sekadar membaca 50 ayat”. Dalam hadith tersebut, pertanyaan berapa lama kadar masa antara bersahur dan azan subuh boleh difahami sebagai berapa lama masa antara selesai bersahur dan azan subuh. Maka 50 ayat digambarkan oleh para ulama sekadar dalam lingkungan 15 minit.

Hikmah dengan adanya waktu imsak ini ialah ia berkaitan dengan maslahah untuk agama juga. Ini kerana apabila adanya waktu imsak, umat Islam akan mempunyai persediaan untuk membersihkan diri bagi tujuan solat subuh berjemaah di Masjid atau surau. Atau untuk mengambil kesempatan berdoa dan bermunajat dihujung malam kerana ianya merupakan saat yang sangat mustajab sebagaimana yang disebut dalam hadith.

Isu waktu imsak tidak berlaku di Negara arab yang lain tidak timbul kerana tidak ada riwayat yang menyebut bahawa siapa yang berhenti makan sahur 15 minit sebelum subuh akan masuk neraka atau berdosa atau haram atau batal puasanya.

Sukacita saya ingin maklumkan bahawa kakitangan Takaful Malaysia perlu berhati-hati dengan kenyataan yang mengelirukan seperti ini dan hendaklah dirujuk kepada Jabatan Syariah terlebih dahulu sebelum ianya disebarkan secara meluas kepada Warga Takaful Malaysia yang lain.


MOHD FAUZI MUSTAFFA
Shariah Dept

Syarikat Takaful Malaysia Berhad

Hukum Bertepuk Tangan Dalam Islam

Sebagaimana yang tuan/puan sedia maklum bahawa amalan bertepuk tangan merupakan kebiasaan yang berlaku dalam budaya masyarakat dunia samada dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Kadang-kadang ia lahir secara spontan dalam suasana riang dan bersemangat dan juga sebagai tanda penghormatan.

Kajian telah menunjukkan bahawa amalan bertepuk tangan tidak dilakukan oleh segelintir umat Islam atas beberapa alasan iaitu:
1. Amalan ini menyalahi adab Islam.
2. Ia suatu perbuatan yang tidak Islamik.
3. Ia adalah amalan syaitan.
4. Ia tidak sesuai dengan majlis keagamaan.

Adalah dimaklumkan bahawa ada segelintir umat Islam tidak mengetahui hukum bertepuk tangan yang sebenar. Secara turun temurun ia menjadi suatu amalan yang tidak dibolehkan dan dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. Sebenarnya anggapan ini dibuat tanpa merujuk kepada nas-nas yang sahih dan dalam masa yang sama tidak ada suatu kenyataan bertulis dari para sarjana masa kini yang menolak tanggapan umum mengenai amalan ini.

Suatu hakikat yang tidak dinafikan ialah kejahilan dalam beberapa aspek hukum Islam menjadikan anggapan ini seolah-olah suatu yang benar. Masyarakat Islam khususnya Warga Takaful Malaysia sewajarnya mempunyai pengetahuan yang jelas dan tepat mengenai perkara ini dan beberapa aspek hukum yang lain yang kadang-kadang difahami secara tradisi tanpa bukti atau nas yang nyata. Justeru Jabatan Syariah berusaha untuk berkongsi pandangan para sarjana Muslim dengan tuan/puan mengenai amalan bertepuk tangan ini. Apatah lagi Takaful Malaysia pula sering menganjurkan majlis-majlis tertentu yang sebahagiannya melibatkan tetamu VIP dari luar yang kalau tiada tepukan maka ia menampakkan tiada semangat atau tidak memberangsangkan atau tiada penghormatan lebih-lebih lagi jika ia melibatkan ucapan dari tetamu kehormat atau pemimpin masyarakat.

Pandangan Sarjana Muslim

Tidak ramai para fuqaha yang membincangkan soal ini secara terperinci. Suatu yang pasti kesemua fuqaha dari mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali tidak langsung menyentuh perkara ini dalam kitab-kitab mereka.

Meskipun ada fuqaha dari mazhab Syafie yang membicarakan soal ini dalam kitab-kitab mereka namun ianya dibicarakan secara ringkas dalam suatu ruang yang agak sempit di bawah tajuk hukum bertepuk tangan (bagi makmum lelaki) dan bertasbih (bagi makmum wanita) dalam sembahyang apabila berlaku kekhilafan di pihak imam.

Begitu juga dengan kitab-kitab tafsir dan hadith juga tidak membicarakan soal ini malah kitab-kitab tentang adab juga tidak menyentuhnya dalam perbincangan mereka.

Secara umumnya berdasarkan pandangan beberapa fuqaha dari mazhab Syafie berkenaan amalan bertepuk tangan di luar dari perlakuan sembahyang boleh dibahagikan kepada 2 keadaan:
1. Bertepuk tangan tanpa ada keperluan.
2. Bertepuk tangan ketika ada keperluan.

Bertepuk Tangan Tanpa Ada Keperluan:-

Imam Al-Ramli r.m dalam Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi ‘ala Matn al-Syeikh Abi Syuja’ dalam pandangan muktamadnya bahawa adalah makruh bertepuk tangan jika tanpa tujuan (samada tanpa tujuan mempermainkan atau tanpa tujuan memberi semangat atau tanpa tujuan memberikan penghormatan).

Imam Ibnu Hajar r.m dalam kitabnya Syarh al-Irsyad pula berpendapat bahawa makruh hukumnya bertepuk tangan jika bertujuan untuk mempermain-mainkan.

Kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa dalam keadaan yang tidak memerlukan seperti main-main atau sebagainya amalan bertepuk tangan ini menjadi makruh.

Bertepuk Tangan Ketika Ada Keperluan:-

Para sarjana Muslim atau fuqaha bersependapat bahawa dalam keadaan-keadaan yang memerlukan tepuk tangan seperti untuk memberikan penghormatan, perangsang dan sebagainya maka amalan bertepuk tangan bukanlah suatu yang dilarang atau haram. Kesimpulannya bertepuk tangan bukanlah suatu kesalahan di sisi Islam malah ia merupakan suatu keperluan yang amat digalakkan untuk menimbulkan suasana yang ceria dan memberangsangkan dalam sesuatu majlis tidak kira samada majlis itu rasmi atau tidak, majlis itu berunsurkan keagamaan atau tidak, asalkan ia bukanlah majlis yang ditegah oleh Syarak untuk menghadirinya.

Anggapan bahawa amalan bertepuk tangan menyalahi adab dan Syariat Islam adalah salah dan tidak sabit dalam mana-mana nas malah tidak ada nas yang menyatakan amalan ini adalah perbuatan syaitan.

Sehubungan dengan itu Warga Takaful Malaysia diharuskan untuk bertepuk tangan dalam majlis anjuran Syarikat seperti majlis pelancaran produk dan sebagainya dengan tujuan untuk menceriakan suasana, memberi semangat kepada peserta yang hadir serta sebagai penghormatan kepada mana-mana pemimpin atau tetamu kehormat selepas mereka habis berucap.


MOHD FAUZI MUSTAFFA
Shariah Dept

Syarikat Takaful Malaysia Berhad.

Durga Pooja Greetings / Lakshmi Pooja Greetings / Deepavali Greetings dan ucapan-ucapannya

Sebagaimana yang tuan/puan sedia maklum bahawa selain dari perayaan Aidil Fitri yang akan disambut oleh umat Islam pada bulan ini, penganut agama hindu juga merayakan 3 perayaan mereka seperti yang disebut dalam subjek di atas.

Sukacita saya ingin maklumkan bahawa kakitangan Takaful Malaysia perlu berhati-hati dengan ungkapan ucap selamat sempena perayaan tertentu yang selain daripada perayaan yang terdapat dalam Islam. Ucap selamat tersebut mestilah diteliti impilikasinya terutama yang melibatkan hukum dan akidah.

Antaranya ialah ucap selamat Happy Durga Pooja atau Durga Pooja Greetings. Ia bermakna selamat menyambut hari kebesaran Dewi Durga. Sambutan ini adalah festival yang paling penting bagi orang-orang Hindu. Ia menandakan ketaatan dan kepatuhan kepada Dewi Durga yang dianggap sebagai Mother of the Universe. Ia disambut oleh oleh penganut agama Hindu pada hari-hari berikut:

29 Sept 2006 - Durga Pooja - Saptami
30 Sept 2006 - Durga Pooja - Mahastami
01 Okt 2006 - Durga Pooja - Navami
02 Okt 2006 - Dussehra - Vijaya Dasami

Untuk makluman tuan/puan, Durga Pooja mengikut kepercayaan penganut agama hindu adalah tuhan dewi yang mempunyai tangan yang banyak dan bersilang yang biasanya kelihatan di kuil-kuil hindu.

Antaranya lagi ialah ucap selamat Happy Deepavali atau lebih dikenali di Benua Kecil India dengan nama Happy Diwali. Deepavali atau Diwali menandakan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan. Ia berkaitan dengan agama hindu juga di mana mitosnya bagi penganut agama hindu di Malaysia ialah tuhan agama hindu yang bernama Krishna telah membunuh Narakasura. Lalu penganut agama hindu merayakan kemenangan ini dengan menyalakan lampu serta berpesta. Manakala mitos di Benua Kecil India pula ialah kemenangan Ramayana membunuh Ravana.

Mengikut kepercayaan hindu, sempena perayaan deepavali mereka akan menerangi rumah mereka dengan cahaya kerana dewi Lakshmi iaitu dewi kekayaan akan berkunjung ke rumah yang diterangi cahaya dan akan memberkati keluarga terbabit. Oleh itu perayaan Lakshmi Pooja akan diadakan 2 hari sebelum deepavali untuk mendapatkan rezeki dan berkat yang berganda.

Setelah meneliti ketiga-tiga perayaan tadi maka jelaslah ianya ada kaitan secara langsung dengan kepercayaan agama hindu. Seluruh kakitangan Malaysia adalah dilarang untuk mengucapkan ucap selamat kepada ketiga perayaan di atas dan lain-lain lagi yang sepertinya kerana ianya boleh menyebabkan berlakunya syirik. Budaya korporat Takaful Malaysia yang bersendikan Syariat tidak mengizinkan ianya berlaku sekalipun untuk pelanggan yang beragama hindu atau agama lain yang mana ucap selamat tadi membabitkan tuhan mereka. Ucapan Happy Durga Pooja, Happy Lakshmi Pooja dan Happy Deepavali seolah-olah mengucap selamat buat tuhan hindu yang bernama Durga, Laksmi dan Krishna. Dan ianya jelas bertentangan dengan akidah Islam.

Allah berfirman dalam surah ali-'Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah telah bersaksi bahawa tiada tuhan selain Dia". Dalam surah Muhammad ayat 1 Allah berfirman yang bermaksud: "Maka ketahuilah bahawa tiada tuhan selain Allah".

Bagi mereka yang telah terlanjur mengucap selamat kepada penganut hindu seperti ketiga-tiga greetings di atas maka hendaklah segera bertaubat dan tidak mengulanginya lagi pada masa-masa akan datang.


MOHD FAUZI MUSTAFFA
Shariah Dept

Syarikat Takaful Malaysia Berhad.