Keputusan Majlis Fiqh Dunia
Berkenaan Islam Hadhari
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Saya cuba menterjemahkan keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa berkenaan satu topic asal yang dicadangkan oleh Malaysia untuk dibincangkan iaitu "Islam hadari". Walaubagaimanapun, dari qarar (ketetapan) yang diputuskan ini saya mendapati secara umumnya kesatuan Fiqh ini menyokong usaha bagi PELAKSANAAN agenda yang digariskan di dalam plan Islam Hadari. Walaubagaimanapun, istilah "Islam Hadari" kelihatan tidak begitu disokong oleh Kesatuan ini apabila dilihat dalam ketetapan Majlis, mereka telah menukarnya kepada istilah berikut :-
- " MANHAJ AL-HADHARI AL-ISLAMI"
- "AL-MANHAJ AL-HADHARI"
Teks arab keputusan boleh dibaca di bahagian bawah tulisan ini.
Berikut adalah kandungan keputusan Majlis Fiqh Sedunia / Antarabangsa :-
Keputusan nombor 163 ( 18/1)
Berkenaan perkara
PETUNJUK BAGI JALAN KEMBALI KEPADA AL-MANHAJ Al-HADHARI (KEMAJUAN) DALAM ISLAM
Sesungguhnya Majlis Kesatuan Fiqh Islam Antarabangsa yang bersidang dalam persidangannya yang ke-18 di Putrajaya, Malaysia dari 24-29 Jumada Al-Akhirat 1428 H bersamaan 9-14 Julai 2007 m.
Selepas meneliti semua kertas-kertas kajian yang dibentangkan bagi topic PETUNJUK BAGI JALAN KEMBALI KEPADA AL-MANHAJ AL-HADARI (KEMAJUAN) DALAM ISLAM
Selepas mendengar kepada perbincangan yang dibuat berkenaannya, dan selepas mengingatkan berkenaan peranan awal Islam menubuhkan sebuah Negara yang adil, dan setelah Rasulullah SAW meletakkan piagam Madinah Al-Munawaarh yang merangkumi panduan perhubungan dalam masyarakat Islam yang awal dan penghebahan kepada masyarakat antarabangsa berkenaan hak-hak kemanusiaan semasa khutbah terakhir.
Bernaung di bawah dalil-dalil Al-Quran dan Al-Sunnah yang merupakan perlembagaan Islam, dari Firman Allah SWT : Ertinya : " Sesungguhnya Allah menyuruh agar kamu bersikap adil dan ihsan serta memberikan bantuan kepada kerabat dan melarang dari melakukan perkara keji dan mungkar dan kederhakaan" ( An-Nahl : 90) dan juga Firman Allah : " Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan RasulNya dan pemimpin kamu" ( An-Nisa : 59 ) Dengan ini menetapkan seperti berikut :-
Pertama : Sesungguhnya menuruti "Manhaj Hadari Islami" (Manhaj Kemajuan Islam) : Memberikan peluang kepada orang Islam mengembalikan peranan mereka dan mengenengahkan risalah kemanusian bagi turut serta membantu mengeluarkan alam dari kegelapan material yang melampaui batas.
Kedua : Sesungguhnya jalan bagi memulihkan kemunduran yang dideritai umat kini adalah dengan kembali kepada nilai-nilai agama dengan tulus dan benar, kerana seluruh keadaan yang mendukacitakan yang menyelubungi umat Islam ketika ini adalah akibat terpisahnya dari pengajaran panduan Islam serta mengikuti system ciptaan manusia.
Ketiga : Sesungguhnya "Al-Manhaj Al-Hadari Al-Islami" yang dibina atas panduan yang tepat mampu membebaskan masyarakat dan Negara-negara umat Islam dari keangkuhan, menjadi pengikut dan kemunduran.
Keempat : Sesungguhnya memahami Islam dengan baik, serta kesungguhan berpegang kepada hukum-hukam Islam dan mengamalkannya secara lengkap dan berimbang adalah merupakan kewajiban asas bagi mencapai kejayaan agenda kebangkitan Islam.
Kelima : Keperluan mengasah prinsip Syura secara teori dan praktikal bagi mengikut firman Allah : "ertinya " dan mesyuaratlah dalam urusanmu" ( Al-Imran : 159), yang mana Syura adalah asas yang kukuh bagi pembentukan sebuah Negara Islam.
Keenam : Keperluan memisahkan antara tiga kuasa : eksekutif, legislatif dan kehakiman, sebagaimana sistem yang telah terasas selepas zaman pensyariatan hukum, dan ia sebagai lanjutan dari praktis yang dilaksanakan oleh para sahabat Nabi , iaiatu memisahkan di antara risalah, kepimpinan dan kehakiman.
Ketujuh : Mengiktiraf hak kewarganegaraan yang meliputi bukan Islam, bertepatan dengan garis panduan Shariah yang memberikan pembalasan hak-hak dengan kewajiban.
Kelapan : Penyertaan wanita dalam aktiviti umum yang tidak bercanggah dengan hukum Shariah yang khas baginya. Firman Allah : ertinya : Lelaki Islam dan wanita Islam sesame mereka bantu membantu dalam menyeru kebaikan dan mencegah dari kemungkaran" ( At-Taubat : 71)
Kesembilan : Kewajiban untuk bersegera menghapuskan unsur-unsur negative yang melanda oleh orang Islam kini bagi membolehkan mendepani cabaran-cabaran yang dihadapinya , seperti :
- Fahaman taksub mazhab yang menjadi batu penghalang terhadap teori pembaharuan yang tepat.
- Pelampau dalam pemikiran dan tingkah laku yang menyebabkan pelbagai masalah dalam masyarakat, yang mana ia digerakkan oleh gerakan pelampau.
- Fahaman komunis dan tiada agama (freethinker dan athies) yang dibina di atas asas penolakan ikatan agama dari kehidupan.
- Kejahilan berkenaan cabang-cabang ilmu menyebabkan terhalangnya mereka dari hakikat sebenarnya sesuatu isu (berkaitan Islam).
- Tidak menghargai nilai waktu dan kesannya yang menyebabkan kegagalan umat Islam dan kemunduran mereka.
Majlis juga dengan ini mewasiatkan perkara berikut :-
- Mengukuhkan keimanan dan amal soleh kerana ia adalah langkah pertama bagi mengembleng usaha tarbiyah bagi melahirkan peribadi Islam yang mampu mengembalikan peranan kemajuan Islam disamping berperanana untuk menyumbang kepada kemjauan manusiawi.
- Memastikan manhaj "Al-Hadari Al-Islami" didirikan atas asas pembenihan dan penerapan nilai-nilai akhlak Islam dalam masyarakat.
- Menyokong pendekatan Malaysia - untuk membina manhaj kemajuan Islam - dan menganjurkan agar diadakan satu persidangan antarabangsa khas bagi menerangkan hakikat ketamadunan dan kemajuan Islam serta kandungan risalah Islam yang kekal, supaya ia menjadi keputusan persidangan dunia di bawah pemerhatian pemikir, pemimpin di seluruh Negara-negara umat Islam. - Tamat terjemahan -
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment