Friday, November 04, 2011

Hardships

Dalam hidup ini, ada ketikanya kita gembira dan ada ketikanya perasaan yang datang itu bercampur-baur.

Aku sekarang sesak dengan suasana kebobrokan manusia yang jahil semakin menjahilkan; yang berilmu semakin didiamkan, dicantas dan disekat. Ada umat yang ambil peduli, ada yang tidak ambil kisah. Pening juga memahamkan mereka yang enggan kisahkan kehidupan sekeliling ini.

- HIMPUN yang tidak membantu menyelesaikan.
- Kerajaan mengelak menjadikan Pendidikan Islam sebagai subjek wajib lulus bagi remaja Islam di peringkat sekolah rendah
- Bob Lokman dikeluarkan waran tangkap. JAIS pulak tu... Manakala MAIK dah tak bagi dia berceramah. (MAIK ni, pakcik aku pun dipecatnya)
- Himpunan Seksualiti Merdeka 2011 - polis dan arahkan pembatalannya. Semoga ada pematuhan di situ. Hak asasi manusia tak patut lebih diperjuangkan dari hak-hak ALLAH & had-had ALLAH juga. (Had-had ni dalam bahasa Arabnya, hudud la.)
- LKAN 2010 yang sangat-sangat menggambarkan ketirisan dan kelemahan. Penanggungan subsidi air oleh KDSB, yang direkodkan sebagai satu kerugian kepada kerajaan negeri Selangor, tidak ada media utama yang menyalurkan rasa berterima kasih rakyat Selangor; KDSB rugi sikit tapi rakyat dapat manfaat. Sepatutnya prestasi sesebuah organisasi patut dilihat dengan membandingkan prestasi 5 tahun laporan Audit & bukan setahun saja.
- Akta Kerja yang tidak memperdulikan nasib pekerja.
- Kegawatan ekonomi global yang mementingkan kapitalis dan bankers dari kepentingan rakyat
- Kejahilan pembantah-pembantah pelaksanaan hudud
- Kejahilan orang Melayu yang membantah pemansuhan PPSMI

Juga aku disesakkan dengan beberapa perkara di pejabat; penolakan-penolakan, pengarahan-pengarahan yang memeningkan, pembodekan-pembodekan yang menyesakkan.

Berusrah semalam di rumah. Buku koleksi khutbah pilihan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi bahan rujukan. Baru masuk khutbah kedua. Alahai, lama betul tinggal buku ni! Lutfi (yang berkepala hampir botak lepas bergunting rambut) terkejut melihat abinya berdegar-degar membaca khutbah err, intro khutbah dalam bahasa Arab. Kemudian, dia sambung bermain dan menyakat Hanan bila teks berbahasa Melayu mula dibaca abinya.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 30, maksudnya, "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi". Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"."

Manusia diciptakan dengan pelbagai kelebihan. Ada manusia yang mempunyai kelebihan dalam perkara tertentu, dan ada manusia yang berkelebihan dalam perkara yang lain. Segala kelebihan dan kekurangan ini adalah khilaf manusia. Kepelbagaian ini perlu disatukan dengan pengwujudan seorang khalifah dari kalangan manusia juga, yang mentadbir di muka bumi ini dengan hukum-hukum ALLAH dan hukum-hukum manusiawi yang diilhamkan pengetahuannya oleh ALLAH juga. Tepat lagi benarlah bahawa, yang dijadikan semestinya mengikut 'manual' yang menjadikan itu.

Apa yang berlaku sekarang sebahagian besarnya adalah sebaliknya. Akal fikiran dijadikan sandaran utama. Mental dan emosi serta intelektualiti dijadikan asas berhukum tanpa sedikit pun mengambil kira panduan yang telah diberikan oleh ALLAH SWT melalui perutusan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul serta penurunan kitab-kitabNya.

Kenapa asas yang semudah ini - yang dijadikan mesti mengikut panduan penciptanya - sukar sekali diikuti? Kita mahu pekerjaan kita mengikut SOP; kita servis kenderaan mengikut cadangan pengeluar; kita menggunakan peralatan di gim tanpa melebihi batas yang ditetapkan; kita makan ubat megikut perskripsi yang ditetapkan; namun bila sampai ke peringkat pematuhan hukum ALLAH, banyak sangat yang ditinggalkan.

Mengakhiri tulisan, firman ALLAH dalam Surah An-Nur ayat 55, maknanya, "Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentausa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan Aku. Dan barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik."

Semoga mengekalkan nikmat iman & Islam kita semua hingga ke akhirnya. Semoga kita berjaya mencapai redha ALLAH SWT.

No comments: