Monday, October 22, 2012

Membuka Jalan Membelah Cabaran

Hudud.

Sedar tidak sedar setiap hari kita menggunakan root word perkataan hudud ini. Dalam bahasa Arab, hudud adalah jama' taksir dari perkataan had. Hudud secara bahasanya bermaksud had-had atau banyak had. Had bermaksud sempadan atau batasan. Penggunaannya dalam nama-nama syarikat Sdn Bhd & Bhd (Private Limited; Pte Ltd; Sendirian Berhad & Limited; Ltd; Berhad) pantas sekali dilupakan masyarakat.

Mengingat kembali kuliah Zohor Dr. Azhar Yaakob di Surau Menara TM awal Oktober lepas, beliau mengulas secara ilmiah berkenaan antara 3 alasan utama pihak umat Islam yang menolak pelaksanaan hudud ini.

Mereka merasakan hudud belum sesuai dilaksanakan kerana masyarakat perlu dididik terlebih dahulu mengenai hudud.

Mereka merasakan hudud belum sesuai dilaksanakan kerana kita tidak boleh terburu-buru.

Mereka merasakan hudud belum sesuai dilaksanakan kerana suasana belum kondusif.

Cabaran alasan ini perlu dijelaskan supaya pelaksanaan hudud dapat dicerahkan jalannya. Dr. Azhar memberi penerangan untuk membetulkan persepsi dari 3 alasan ini, mengikut kerangka penjelasan akademik sesuai dengan kepakaran beliau.

Alasan pertama.

Dalam satu hadis Nabi SAW yg disampaikan secara mafhum pada kuliah berkenaan, Baginda diberitakan menyatakan bahawa semaju mana tamadun manusia pun, umat tidak akan terlepas dari tiga perkara: penyakit, kejahilan dan kemiskinan.

Apa yang menjadi polemik pelaksanaan mahu pun penangguhan hudud di Malaysia sudah secara tidak langsung mendidik masyarakat di sini. Mereka semakin kenal dengan hudud. Mereka semakin mengetahui siapa yang mahu melaksanakan & siapa yang mahu menghalang. Program-program ilmiah seperti tazkirah, kuliah, debat mahu pun konvensyen sudah pun dibuat. Namun, walaupun kelihatan grand, tetapi masih tidak dilihat sebagai satu tindakan yang mainstream. Sukatan pelajaran berkaitan undang-undang Islam di peringkat primer & sekunder diringkaskan sehingga menimbulkan ketidak fahaman di kalangan penuntut. Ketidak fahaman ini menunaskan kejahilan dan penentangan terhadap pelaksanaan hudud.

Mengaitkan hadis Nabi SAW tadi, jika nak tunggu mendidik masyarakatlah sehingga reti baru nak dilaksanakan hudud, setiap waktulah perlu dilaksanakan program-program pendidikan intensif berkenaan. Mana tidaknya, setiap masa di sini ada saja zuriat-zuriat yang baru menjengah dunia, dalam keadaan fitrahnya 'jahil' namun masih suci & bersih. Tunggu mereka baligh, nak didik mereka ni. Alamatnya sampai bila takkan terlaksana hudud di Malaysia ni,

Alasan kedua.

Mereka yang beralasan membawa hadis Nabi Muhammad SAW yang mafhumnya, terburu-buru itu adalah dari syaitan, beransur-ansur atau bersabar-sabaran adalah dari ALLAH SWT.

Ulama memberi tafsiran gopoh dalam hadis ini seperti analogi ini: solat zohor masuk waktu pada 1.15 petang,  namun seseorang telah datang ke masjid dan solat pada pukul 1.00 petang. Demikianlah maksud terburu-buru di dalam hadis berkenaan.

Dr. Azhar menjelaskan, pelaksanaan hudud tidak pernah langsung dibuat secara terburu-buru. Ambil contoh di Kelantan. Kerajaan negeri tidak segera melaksakannya. Memang 22/10/1990, 23/10/1990 terus buat. Tidak begitu. Ulama ada menerangkan dalam pelaksanaan hudud di peringkat perundangannya, perlu ada dua peringkat: pengkanunan & penguatkuasaan.

Kelantan telah mengkanunkannya pada 1992 dan pemindaan pada 1998. Namun memandangkan bidang menguat kuasa adalah bidang persekutuan, polis, kastam, SPR, mahkamah-mahkamah semuanya di bawah kawalan & kuasa persetujuan kerajaan persekutuan, maka penguatkuasaannya belum boleh dijalankan. Ditangguh dengan paksaan kerajaan pusat secara tidak langsung. Ditambah lagi dengan surat PM ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengugut kerajaan negeri, maka kepimipinan kerajaan Kelantan mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan hukum yang sudah dikanunkan ini.

Jika ada ayat-ayat atau perengggan-perenggan atau frasa-frasa yang masih ada kekurangan, maka kenapa tidak pihak yang mahir berkenaan menjalankan dialog dengan kerajaan negeri untuk membetulkan atau menambah baik kanun berkenaan. Sepatutnya sokongan yang diberikan, bukannya menghina atau memburuk-burukkan kanun yang tidak dilaksanakan bukan dengan sebab si pengkanun (kerajaan negeri) sendiri.

Namun jika ada mereka yang mahir lagi, mereka pasti bersetuju, bahawa apa yang sudah dikanunkan berkenaan sudah pun tepat. Mengapa? Kerana perkara yang diperselisihkan bukanlah perkara utama, tetapi perkara yang cabang sahaja. Terpulang kepada ijtihat pengkanun & pelaksana berdasarkan kefahaman mereka untuk mewartakan apa yang sudah teliti dikaji dan diperhalusi oleh mereka.

Alasan ketiga.

Apabila suasana masyarakat sudah kondusif, apa lagi guna hukum hudud? Bilakan suasana kondusif itu akan dapat dicapai? Namun ALLAH SWT yang Maha Mencipta sudah pasti Maha Mengetahui akan keadaan hamba-hambaNya. Lihat pada zaman jahiliyyah, maksiat apa jenayah yang bagaimana tidak wujud di zaman jahiliah; memeras, membunuh, merampas, menganiaya, namakan saja. Hudud diturunkan untuk memurnikan masyarakat memandu umat pada zaman berkenaan kepada fitrah kemanusiaan. Mengeluarkan manusia dari kegelapan kejahilan kepada cahaya hidayah.

Apa bezanya kebejatan zaman jahiliyyah dengan kebobrokan yang berlaku sekarang?

Dengan bilangan jenayah yang meningkat, masalah sosial yang semakin buruk apakah umat Islam masih mahu menolak kaedah pencegahan terbaik yang diturunkan oleh ALLAH SWT, yang terbukti dapat membetulkan, terbukti pengamalannya selama ribuan tahun, diakui oleh para ilmuwan dan sarjana, yakni hukum hudud? Adakah hukum konvensional yang sudah terbukti tidak mampu mengurangkan kadar jenayah, yang penuh ketidak adilan, yang menindas dan membebankan, masih lagi mahu dijadikan pilihan umat Islam?

Tepuk dada tanya iman.

Wallahua'lam.

No comments: