Monday, September 01, 2008
Perutusan Mursyidul Am PAS sempena Ramadan
Mon | Sep 01, 08 | 9:27:56 am MYT
Alhamdulillah kita dipertemukan kembali dengan bulan penuh rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanawataala. Saya merakamkan ucapan selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam di pelusuk dunia.
Menjadi kebiasaan kita orang Melayu mengenali Ramadan sebagai bulan puasa. Tanpa disedari sebutan yang sudah lama berakar umbi itu tidak tepat dengan pengertian sebenar Ramadan.
Ramadan bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa yakni menahan diri daripada makan, minum dan apa sahaja yang membatalkan puasa kerana takrifan sebenarnya lebih luas lagi.
Puasa juga sebenarnya boleh dilakukan pada bulan lain, seperti yang menjadi amalan sesetengah daripada kita iaitu bulan Rejab dan Syaaban. Sebab itulah penggunaan istilah Ramadan lebih tepat bagi menggambarkan maksud dalam melaksanakan amal ibadat sepanjang bulan penuh berkat ini.
Ramadan juga membawa maksud bulan kebajikan di mana di dalamnya ada zakat fitrah yang menjadi kewajiban dilaksanakan setiap umat Islam. Umat Islam amat digalakkan bersedekah sebagai melengkapkan amalan ibadat puasa kita di siang hari.
Ini kerana di sekeliling kita ada mereka yang kurang bernasib baik. Maka pada kesempatan ini kita hulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.
Oleh itu saya mengajak umat Islam menggunakan kesempatan Ramadan kali ini bagi menggandakan amal ibadat serta memohonkan keampunan daripada Allah Taala. - aza_
[Sumber asal di sini.]
Ramadhan kali ini...
Ramadhan mengimbau banyak jugak kenangan, terutama sewaktu memanjat pokok depan jalan surau Kolej 12&14 UPM untuk menggantung banner BARA & IHRAM satu ketika dulu. Memandangkan aku yang kecik sekali di kalangan AJK, maka aku panjat je pokok tu. Banner tergantung tinggi sampai selepas raya sebab takde orang berani nak buang. Aku pun dah lupa cam mana banner tu dibuang, dan oleh siapa.
Ramadhan di UPM jugak menyingkap pengalaman pertama kemalangan dalam compound UPM. Dengan Paan yang tak pakai helmet masa tu, nasib baiklah tak teruk. Sayang sekali baju kuning yg dapat masa jadi fasi Orientasi matrik KMPP 2003/04 terkoyak & tak boleh dah nak dipakai lagi. Begitu jugak slack John Master yg abe Li bagi yg harga 100 lebih tu, koyak dalam kemalangan tu. Aku ke pusat kesihatan sejurus selepas maghrib, buka puasa & menerima satu das suntikan. Nasib baik Paan tak apa-apa. Ye ke Paan? Kemalangan tu berlaku kat simpang 4 MTDC - Kolej 12 tu. Aku amik Paan di masjid UPM, masuk kot simpang kubur Cina tu. Bawa straight motor RC-80 tu ke arah simpang 4 tu. Then, aku cuba nak elak motor sebelah kanan yg datang potong aku kot kiri, masa dah rapat dengan simpang 4 tu. Asal motor tu follow aku dari belakang di sebelah kanan, mungkin sebab aku slow dia pun cuba potong aku dari kiri. Then aku elak la, sebab rasa cam dia tak sempat potong kalau aku tak elak. Sudahnya, aku jatuh ke kanan, adalah kereta nasib baik sempat berhenti kat belakang. Pesan driver kereta tu, "Bawak motor tu leklok dik, seminggu je lagi nak raya ni...!" Memang masa tu dekat seminggu lagi nak raya.
Masa sem 1 gi hantar Nazrul, Hadi Awang, Safwan ke Mesir, pun dalam bulan puasa juga. Dah balik dah pun Nazrul. Itulah first time g KLIA dengan kereta pinjam (thanks Izni) dan driver pinjam (thanks Raihan). Rasanya cam banyak menyusahkan pulak orang aku ni semata-mata nak gi menghantar Nazrul dan yang lain-lain tu. Takpalah, diorang tak kisah pun.
Ramadhan oh Ramadhan, aku mula kenal wira-wira keinderaan pun dalam Ramadhan la...hukhukhuk...
~Kumengharapkan Ramadhan, kali ini penuh makna...~
~Agar dapat, kulalui, dengan sempurna...~
Kematian dan Ramadan
Sun | Aug 31, 08 | 2:13:21 pm MYT
Ramadan datang lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Ia kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah.
Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah.
Namun, ini mungkin Ramadan terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah.
Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini.
Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketakwaan dibentang seluas-luasnya.
Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan.
Menghampiri Ramadan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Nurul Syafiqah, pada pagi 1 Ramadan, jam 8.15, tiga tahun lalu. Dalam usia 11 tahun, kematian Syafiqah, anak kedua kami, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, isteri dan empat anak yang lain ke penjuru satu dunia berbeza.
Ternyata kasih sayang buat anak kecil darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi.
Ya, Ramadan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali.
Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian anak kecil, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya.
Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan.
Benar sekali sabda nabi. Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah pernah ditanya tentang orang Mukmin yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Ditanya lagi, orang Mukmin mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab baginda, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.
Ramadan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata.
Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi. Sesungguhnya Allah amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya.
Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadan yang sangat istimewa itu. Pesan saya buat diri yang sangat mudah terleka ini, walaupun Syafiqah kerap mengejutkannya. - mks._
[Sumber asal di sini.]