Friday, February 25, 2011

Nama Yang Baik

Nama yang baik itu banyak. Nama sesorang akan digunakan hinggalah ke akhirat kelak. Jauh sekali batasan penggunaannya. Justeru itu, menamakan anak-anak dengan nama yang tersusun dan elok amat-amatlah dituntut dalam Islam.

Namun, sering kali menjadi dilema bagi kita untuk memilih nama yang baik untuk anak-anak kita. Mempersoalkan nama yang diberi berkenaan dengan maksudnya, atau susunan katanya adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kebanyakan orang. Apakah sebabnya?

Kebanyakan masyarakat Melayu yang majoritinya beragama Islam menyandarkan penamaan anak-anak kepada nama yang berasal dari perkataan-perkataan bahasa Arab. Perkembangan terkini bahasa membantu mewujudkan nama-nama hibrid, bukan Arab dan pelbagai lagi.

Bagaimana maksud nama yang tidak elok ini hendak kita uruskan? Adakah Jabatan Pendaftaran Negara membenarkan penukaran nama?

Nama ini, katanya hendak di'Arab'kan, tapi sesetengahnya menyalahi tatabahasa bahasa Arab sendiri dan juga tidak mempunyai makna yang baik. Beberapa contoh nama umat Islam Malaysia yang sering digunakan namun agak samar malahan tiada makna pun di dalam bahasa Melayu mahu pun bahasa Arab (mohon maaf di atas kekasaran yang timbul) :
  1. Akma - apakah maksud nama ini? Di dalam bahasa Jepun, terdapat kata yang hampir sama iaitu 'akema' yang mempunyai maksud syaitan. Berbeza dengan Akmal yang bermaksud lebih sempurna. Nama seumpamanya yang lain ialah Akmar, namun tidak pula ditemui asal kalimah (wazan) Arabnya, dari kalimah apa.
  2. Sharina - Di dalam bahasa Arab, kalimah sharr (shin ra') membawa maksud keburukan. Bila ditambah dengan na (kata ganti nama diri pertama banyak dalam bahasa Arab atau isim mukhotobin), kata ini bermaksud keburukan kami/keburukan kita. Mungkin berlaku kesilapan sewaktu membubuh nama Shahrina yang mempunyai maksud dari gabungan 2 kata, bulan (shahrun) dan kami (na).
  3. Tristan? Saya mula jumpa perkataan ini dalam siri anime Mobile Suit Gundam Seed. Tristan & Isolde adalah nama peluru berpandu bagi kapal angkasa di pihak baik di dalam siri anime ini. Apakah ertinya apabila Tristan itu dinisbahkan maknanya ke dalam bahasa Arab sebagi bermaksud "lain dari yang lain"? Tristan, ta ra sin ta alif nun, adakah wujud kalimah ini? Sebenarnya Tristan dan Isolde ada sejarahnya di sini. Ianya bukan nama peluru berpandu semata-mata. Lain dari yang lain secara linguistik Arabnya ialah akhar min akhar untuk isim muzakkar dan ukhra min ukhra untuk isim muannas.
  4. Mahathir - nama ini mempunyai makna yang baik jika dinisbahkan kepada kalimah hadhara. Mim ha' alif dhod ra' memberi makna tempat orang hadir. Kita sedia biasa dengan sebutan th sebagai dh. Tetapi bagaimana dengan th dalam Thohir/Tahir? th juga sentiasa dieja untuk mewakili huruf tsa'/tha' (huruf ketiga dalam sistem huruf hijaiyyah). Jadi pembetulan pada ejaan rumi adalah perlu untuk nama-nama yang ada ejaan th ini.
  5. Nama-nama mudhaf wa mudhaf fun ilaih yang jika kalimah keduanya tidak ada, maka akan tergantung. Nama ini semuanya ada maksud yang baik seperti contoh Saif (pedang), Khair (kebaikan), Amir (ketua atau orang yang memakmurkan) dan seumpamanya yang akan jadi tergantung apabila dibiarkan sebagai Saiful, Khairul atau Amirul. Perlu ada penjelasan bagi nama Saiful yang memberi makna pedang yang...?, khairul yang memberi makna kebaikan yang...? dan Amirul yang memberi makna ketua atau pemakmur yang...?. Tambahan seperti Saiful Iman atau Saiful Islam, Khairul Amir atau Khairul Nizam, Amirul Anwar atau Amirul Mukminin memberi makna pada nama berkenaan. Contoh tergantung lain seperti Shahrul, Abdul, 'Ainul, Nurul dan lain-lain
Kesilapan ini jika dahulunya, dikaitkan dengan kekurangan ilmu pengetahuan terutamanya dalam bahasa Arab. Namun zaman sekarang, kesilapan ini banyak berpunca dari sikap ingin nama yang sedap didengar tanpa mendalami maknanya tanpa merujuk mereka yang mahir bahasa Arab. Perbuatan menggabung nama pasangan atau suku kata dari nama pasangan juga dikesan sebagai salah satu punca kesilapan. Gabungan suku kata yang mewujudkan nama bermaksud baik tidaklah mengapa. Seterusnya, rujukan terhadap buku maksud nama juga kadang-kadang memberi definasi yang tidak sama dengan maksud dari ejaan asal sesuatu kalimah di dalam bahasa Arab. Rujukan adalah boleh namun elok ditambahi dengan membelek kamus bahas Arab atau bertanya mereka yang ahli bahasa Arab.

Pelbagai lagi contoh yang amat banyak boleh kita jumpa setiap masa. Sebaik-baiknya, hilangkan sedikit ego dan rasa yakin dengan pilihan sendiri dengan merujuk mereka yang menguasai ilmu tatabahasa Arab (saya juga masih merujuk, saya bukan pakar bahasa Arab sebab SPM saja kelulusannya) andai mahu menamakan zuriat dengan nama didasari dengan kalimah Arab. Semoga nama yang kita berikan kepada keturunan kita dan mungkin nama yang kita cadangkan kepada orang lain terhindar dari makna-makna yang buruk terutamanya.

Tuesday, February 01, 2011

Kelahiran baru


Alhamdulillah zaujah saya,nor haizan dh slmt lahirkan anak ke-2 kami, baby girl secara normal 9.39pm jap td.berat 3.2kg.umi & anak sihat.