Thursday, December 23, 2010

Persepsi

1. Kadang-kadang aku kehairanan bila aku naik ke surau TM Annexe 2 pada waktu ramai jemaah sedang solat. Aku melihat sewaktu jemaah sedang solat, ada beberapa orang muslimah keluar dari surau muslimah. Kepelikan aku dibuatnya. Apa mereka ini tidak solat berjemaahkah? Suara imam kedengaran jelas di hadapan. Tak mungkin mereka tak dengar. Alang-alang berada di surau tu, solatlah berjemaah sekali.

2. Perkara ini aku baru terlintas dalam sebulan dua ni. Kelihatan orang-orang yang tidak yakin akan kebersihan seluar mereka, menyalin seluar & memakai kain pelikat sebelum solat atau sebelum berwudhu'. Seluar berkenaan diletakkan di atas lantai. Apa mereka kira kebersihan itu hanya untuk diri mereka sajakah? Lantai surau atau masjid itu tidak perlu bersihkah? Jika benar ada kekotoran di seluar mereka, maka terpalitlah cemar ke karpet surau berkenaan. Bagaiimana pula solat orang lain yang berdiri, sujud dan rukuk di tempat yang sama? Sahkah?

3. Ungkapan, "biarlah grand sikit, sekali seumur hidup saja ni..." atau yang sewaktu dengannya seolah-olah menghalalkan majlis persandingan. 'Menghalalkan' pakaian yang ketat-ketat bagi sang isteri. 'Menghalalkan' jurukamera mengambil gambar sewaktu bersolek dalam keadaan aurat yang belum sempurna ditutup. Apakah pasangan berkenaan tidak menyedari bersanding adalah adat yang tidak dibenarkan? Adakah pasangan berkenaan tidak tahu aurat yang perlu ditutup, labuh mana, longgar mana pakaian yang perlu dipakai? Adakah alasan "sekali seumur hidup saja, mestilah semua nak sempurna" itu mampu menjadi hujah kelak?

4. Menutup aurat adalah suruhan yang qat'ie. Ianya tertulis di dalam Al-Quran dalam Surah An-Nuur. Begitu juga ketidak bolehan mendedahkan aurat adalah sesuatu yang qat'ie. Namun, pengharaman rokok adalah sesuatu yang diqiaskan dari hadis Nabi SAW tanpa larangan yang jelas menyebut kalimah rokok. Pun begitu, mengapa lebih banyak papan tanda pengharaman dan keburukan merokok dari papan tanda dan simbol suruhan menutup aurat / larangan mendedahkan aurat? Mengapa diajarkan tudung itu pelbagai jenis dan pelbagai cara pemakaiannya dari yang rumit hinggalah yang selebet? Mengapa menutup aurat yang lebih utama tidak dititikberatkan?

5. Kementerian Pembangunan Wanita adalah lambang diskriminasi halus! Mengapa? Kenapa perlu diasingkan pembangunan manusia dari segi jantinanya? Adilkah dengan meniadakan portfolio khusus pembangunan lelaki sedangkan di dalam Al-Quran, disebut lelaki itu pemimpin bagi wanita dengan apa yang dikurniakan oleh ALLAH. Terbangun lelaki terbinalah wanita. Oh, aku lupa. Malaysia tidak menjadikan Al-Quran & Hadis sebagai pelembagaannya.

6. DSLR. iPad. iPhone. 3D HD LED TV. Blackberry. Kalian tahukah semua fungsinya? Jika ya, alhamdulillah. Kalian tidaklah tergolong dalam golongan yang terjebak dalam trend & technology victimization. Pantang melihat gajet baru sedikit, mulalah gatal tangan nak membelinya, tanpa sedar kemahiran diri yang terbatas dalam menggunakannnya. Keterbatasan itu hanya sesuai dengan gajet yang tidak semaju & sehebat gajet yang disebutkan di atas. Keterbatasan kemahiran itu makin menjelekkan dengan sifat tidak mahu belajar & bangga diri dengan apa yang dimiliki. Bukankah agak zalim membazir duit membeli apa yang tidak sepatutnya diguna, lantaran tidak semua fungsi alat berkenaan dapat dikuasai oleh kita? Lebih bagus dan menjimatkan jika kita beli alat yang sesuai dengan kemahiran dan kemampuan kita.

7. Politik itu kemahiran mengurus persepsi. Jika sebilangan orang mengasingkan diri dari politik kerana merasakan politik itu kotor, tidakkah perlu ada segolongan yang membersihkan kekotoran berkenaan? Jika tandas ada flush-nya, jika saluran pembetungan ada IWK-nya, jika plak ada Listerine-nya, mengapa tidak pada politik? Mengapa jijik sekali memandang politik itu, padahal kesatuan sekerja di tempat kerja kalian pun ada proses pemilihannya? Pulang berhari raya pun ada gilirannya? Adakah pemerintahan UMNO/BN itu tidak ada kesudahannya?

8. Tiap-tiap hari kita baca Berita Harian atau Harian Metro atau NST atau The Star atau Kosmo! atau Utusan Malaysia, atau lain-lain akhbar. Kepercayaan kita terhadap berita berkenaan sangatlah tinggi. Kita sering bersembang dan menyampaikan berita yang kita baca. Kenapa, Al-Quran yang mulia itu tidak boleh diperlakukan sedemikian rupa, dari segi pembacaannya, kepercayaannya, janji-janjinya? Al-Quran itu tidak dipercayai dengan sepenuh pasak keyakinan. Sebab itulah orang buat macam-macam perkara yang tidak betul dan meninggalkan macam-macam perkara yang betul...

Sekarang apa persepsi kalian?