Selepas perlawanan persahabatan pertama yang menyaksikan Malaysia tewas 2-3 kepada Manchester United, skuad bola sepak negara amat bertuah kerana diberi penghormatan untuk bermain sekali lagi dengan juara kelab dunia ini.
Perlawanan malam ini pasti berbeza dengan perlawanan Sabtu lepas. Pemain kedua-dua belah pasukan pasti lebih bersedia dan lebih memahami kelebihan dan kelemahan lawan masing-maing. Bilangan penonton juga dijangkakan sedikit merosot, namun tidak ketara, berbanding dengan jumlah yang dicapai pada hari hujung minggu seperti hari Sabtu.
Kenyataan sinis Perdana Menteri Malaysia Dato's Seri Najib Razak yang menyangkakan Malaysia akan tewas dengan jumlah jaringan yang besar (0-6) seperti yang dilaporkan dalam The Star, amatlah pesimistik. Sepatutnya beliau lebih positif dalam membuat kenyataan. PAS turut tidak ketinggalan memberi respon terhadap perlawanan menarik ini. Menurut Harakahdaily, Naib Presiden PAS, Haji Mahfuz Omar mengingatkan supaya para pemimpin Umno tidak menyamakan skuad berjersi biru pasukan Malaysia tempoh hari dengan Barisan Nasional yang kalah tipis di PRK N-41 Manik Urai Selasa lepas. Beliau juga berkata, usah terlalu cepat menaikkan taraf bola sepak negara dengan kemenangan ini. Wallahua'lam, adakah wajar perbandingan sedemikian dilakukan.
Ulasan Peter Butler, jurulatih pasukan negeri Kelantan sewaktu menjadi hos siaran langsung perlawanan ini petang Sabtu lepas di saluran 811 Astro Super Sports wajar menjadi iktibar. Pasukan Malaysia mudah hilang bola dari kawalan. Dalam dua keadaan sama ada bola di kaki begitu mudah dicuri pemain lawan atau hantaran yang sangat tidak kemas, kawalan bola pemain muda negara amatlah mengecewakan.
Luahan Butler perlu diambil berat oleh jurulatih pasukan K. Rajagobal, memandangkan rata-rata pemain kebangsaan pernah bermain menentang pasukan Kelantan di bawah bimbingan Butler. Hatta, penyerang Indra Putra Mahyuddin adalah anak didik Butler sendiri. Malaysia mendapat pujian di barisan midfield yang berjaya membuat kesinambungan counter-attack dari umpanan pemain pertahanan yang sekali-sekala mencemaskan United.
Mengulas mengenai ejekan penonton apabila pemain negara hilang bola, Rajagobal, dipetik dari The Star menegaskan bahawa, skuad negara hanyalah skuad '10-hari' berbanding sebilangan besar pemain United yang telah bermain bersama-sama selama bertahun-tahun. Adalah tidak adil untuk menuntut persefahaman 100% dengan skuad yang dikumpulkan dalam masa yang begitu singkat.
Barisan United kelihatan sedikit keletihan, mungkin disebabkan jet-lag. Keserasian antara para pemain juga tampak sedikit terjejas lantaran penstrukturan semula posisi selepas ketiadaan Cristiano Ronaldo. Barisan tengah sedikit kucar-kacir jika dibandingkan dengan posisi sayap dan penyerang. Apakah yang akan kita saksikan pada perlawanan kedua malam ini? Mampukah Malaysia mengekang sekali lagi asakan United? Sama-samalah kita saksikan.
No comments:
Post a Comment