Monday, June 27, 2011

Himpunan Bersih 2.0

Kebenaran berhimpun secara aman adalah manifestasi penzahiran salah satu aspek demokrasi yang diizinkan perlembagaan. Amannya sesuatu perhimpunan bukanlah sesuatu yang mustahil, seperti mana rakyat Malaysia menyambut kehadiran Condoleeza Rice di KL Convention Center beberapa tahun yang sudah. Juga mengimbau memori beberapa demonstrasi selepas solat Jumaat di depan kedutaan Amerika Syarikat pada tahun 2007. Polis pun mengaminkan doa. Bolehkan? Pihak PDRM dipuji di waktu itu dengan kata-kata bukan semua polis jahat apabila mereka, dengan profesional sekali, berjaya mengawal demonstran & lalu-lintas sewaktu dan sesudah demonstrasi.

Apakah kebebalan dan ketakutan yang meresahkan sangat penguasa semasa sehinggakan buruk sekali konotasi dan ibarat berkenaan Himpunan Bersih 2.0 yang telah, sedang dan akan disampaikan melalui media massa utama keseluruhannya? Saban hari perhimpunan Bersih 2.0 diharamkan, dinegatifkan, diganjilkan dengan tag perhimpunan haram 9 Julai di media cetak & elektronik.

Perhimpunan ini perhimpunan aman. Ia menjadi tidak aman bila ada provokasi. Provokasi mungkin dilakukan oleh penyusup-penyusup masuk seperti SB, pemuda UMNO, dan untuk perhimpunan kali ini, Patriot Pemuda Umno, Perkasa, Silat Lincah? Mungkin provokator terhebat ialah MP Pasir Mas. Reaktif sekali tindakan mereka ini. Sangat terkesan barangkali dengan kejayaan mobilisasi massa untuk Himpunan Bersih 2.0 kali ini.

Saya ingin berkongsi galeri himpunan Bersih 2007 yang boleh diakses di sini. Tidaklah banyak mana rakamannya. Mungkin ada yang berminat nak mengambil video asal dari situ untuk menyertai pertandingan ini, bolehlah hubungi saya.

Jom kita turun dan ramaikan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada Sabtu, 9 Julai ini, jam 2 petang di Kuala Lumpur!

Friday, June 17, 2011

Tulis

Langkah demi langkah disusun atur. Satu tapak demi satu tapak. Didahulukan tumit dan diakhiri dengan hujung kaki. Bayang-bayang gerak dan gaya melintas-lintas dalam minda sarat yang terpenuh dengan debar, dengan getar dan harapan. Setiap langkah bertemankan nafas keluar masuk dan degup-degup dalam diri bersilih ganti. Debar dan getar yang tidak dizahirkan dengan kelibat dan luaran diri. Hanya mata yang bercahaya, penuh harapan dan keyakinan. Rasa seperti pertama kali datang menjunam dalam benak walaupun keadaan ini sudah sekian acap kali dipertaruhi.

Fokus. Konsentrasi. Tetap pendirian.