Wednesday, November 04, 2009

Tahniah Rooney!

Penyerang United kini bergelar bapa
LIVERPOOL: Wayne Rooney telah bergelar bapa untuk pertama kalinya pada Isnin lepas apabila isterinya Coleen telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki, umum seorang jurucakap kepada penyerang Manchester United dan England berkenaan.
Bayi berkenaan, dilahirkan di Hospital Wanita Liverpool telah diberi nama Kai Wayne Rooney.
Ayahnya terlepas sesi latihan bersama kelabnya untuk menyambut kelahiran berkenaan.
Rooney, 24, telah berkahwin dengan teman wanitanya sejak kanak-kanak itu, Coleen, 23, di Italian Riviera tahun lepas.
Coleen, yang bekerja sebagai seorang model dan penyampai televisyen telah dipetik sebagai berkata dalam satu temuramah awal tahun ini, dia mahu “mungkin tiga atau empat orang anak lagi.”
“Saya sangat sukakan kerjaya saya namun saya lebih gembira untuk meneruskannya apabila kami mempunya anak-anak,” katanya. — AFP

Tuesday, November 03, 2009

Tauliah ceramah

Bila sekatan secara terpilih dilakukan kepada alim ulama, maka timbullah kekeliruan dan masalah di kalangan masyarakat. Api fitnah dan gosip mula membara. Apakah sebenarnya tauliah yang dimaksudkan oleh penguatkuasa agama Islam tempatan?

Setiap insan yang beragama Islam telah pun diamanahkan oleh ALLAH untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 (1) maksudnya, "Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik." Namun, pastinya orang yang ingin menyampaikan itu sedar keperluan melengkapkan dirinya terlebih dahulu. Kita juga amat yakin bukan semua orang bersedia untuk menyampaikan, memberi dakwah melalui penyampaian ucapan, ceramah, tazkirah dan sebagainya. Mereka perlu bersedia terlebih dahulu. Adakah persediaan yang diterjemahkan dengan pengurniaan ijazah-ijazah Sarjana Muda, Sarjana mahu pun Doktor Falsafah senang-senang dipandang enteng? Apakah kelulusan akademik itu bukannya tauliah untuk menyampaikan dakwah?

Penahanan bekas Mufti Perlis tidak pernah pun berlaku sebelum ini. Dia sering sahaja menyampaikannya pengisiannya di sekitar Lembah Klang ini, secara terbuka atau pun tertutup, sebelum dan selepas dia menjawat jawatan Mufti Perlis. Masyarakat sedar apa yang dibawanya. Namun, beliau masih diterima untuk menyampaikan pengisian-pengisiannya.

Pihak penguatkuasa haruslah bekerjasama dengan para ulama, untuk menetapkan kriteria, boleh atau tidak seseorang ahli agama atau ulama itu menyampaikan pengisiannya secara umum. Penggubal dasar di peringkat pusat mahu pun negeri boleh merujuk entiti seperti ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan atau pimpinan Persatuan Ulama Malaysia misalnya, untuk penetapan dasar pentauliahan berkenaan. Diharap, kecelaruan ini dapat dielakkan pada waktu mendatang.